Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Untuk Pastikan “Kelebihan” Ketenteraan Israel, Mesir Tidak Dibenar Miliki Peluru Berpandu Beyond Visual Range

Mesir berkemungkinan besar tidak akan diberikan “pakej penuh” yang bermaksud - Kaherah tidak akan diberikan kebenaran untuk memiliki peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “Meteor” dan persenjataan strategik yang lain dengan alasan untuk memelihara Kelebihan Kualiti Ketenteraan (Qualitative Military Edge – QME) dimiliki oleh Israel.

0 30,009
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak dua atau tiga tahun yang lalu, Mesir dan Itali telah mengadakan rundingan perolehan pelbagai jenis senjata termasuk sehingga 24 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon bernilai US$3 billion yang dikeluarkan oleh konsortium empat buah negara Eropah.
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh konsortium syarikat daripada empat buah negara Eropah daripada United Kingdom, Sepanyol, Itali dan Jerman.
Selain pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, Mesir juga dilaporkan berada di ambang untuk diberikan kebenaran untuk memiliki pesawat pejuang F-15 buatan Amerika Syarikat, sekaligus menamatkan impian selama 40 tahunnya untuk memiliki pesawat pejuang itu.
Sekiranya kehadiran Eurofigher Typhoon dan F-15 itu disahkan menerusi penandatangan kontrak, maka kedua-dua pesawat pejuang itu akan menyertai Tentera Udara Mesir yang kini sudah pun memiliki 54 buah pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis dan beberapa jenis pesawat pejuang lain.
Walaupun usaha Mesir untuk memiliki pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu berkemungkinan tidak berhadapan dengan masalah besar, terutamanya selepas Jerman bersetuju menjual pesawat pejuang itu kepada Arab Saudi, namun negara Arab itu dijangka tidak akan diberikan “pakej penuh.”
Meteor
“Meteor BVR”

 

Sebagaimana yang berlaku dalam perolehan pesawat pejuang Rafale daripada Perancis sebelum ini, Mesir dijangka mengalami nasib yang sama sekiranya ia bersetuju memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu.
Sekiranya memilih Eurofighter Typhoon, Mesir berkemungkinan besar tidak akan diberikan “pakej penuh” yang bermaksud – Kaherah tidak akan diberikan kebenaran untuk memiliki peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “Meteor” dan persenjataan strategik yang lain dengan alasan untuk memelihara Kelebihan Kualiti Ketenteraan (Qualitative Military Edge – QME) tentera Israel.
Walaupun Israel mungkin tiada halangan terhadap penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Mesir, tetapi beberapa pihak dalam negara Yahudi itu telah menyuarakan pendapat akan veto sebarang cadangan penjualan peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor BVR” yang digunakan oleh pesawat pejuang itu kepada Mesir.
Perkara sama berlaku kepada Mesir sebagaimana ketika ia membeli pesawat pejuang Rafale, di mana Israel membantah sebarang usaha daripada Perancis untuk turut melengkapkan pesawat pejuang yang dijualnya kepada Kaherah itu dengan peluru berpandu Meteor BVR yang dibangunkan oleh firma MBDA.
Sehingga kini, pesawat-pesawat pejuang Rafale Tentera Udara Mesir tidak dilengkapkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor BVR”, disebabkan bantahan daripada Israel yang mahu pembuat pesawat pejuang Rafale itu memastikan kelebihan kualitatif tentera Israel terhadap Mesir terus dikekalkan.
AMRAAM
“AMRAAM” BVR

 

Kaherah dilaporkan terus menekan Perancis supaya memberikannya peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor BVR” untuk digandingkan dengan pesawat pejuang Rafale dan juga pesawat pejuang Eurofighter Typhoon sekiranya ia dibeli oleh Mesir.
Israel dikatakan “bimbang” akan nasib pesawat-pesawat pejuangnya terutama F-16 dan F-15 apabila bertembung dengan pesawat-pesawat pejuang Mesir yang dilengkapkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor BVR” sekiranya konflik bersenjata antara kedua-dua negara itu tercetus.
Bagi pesawat pejuang generasi kelima F-35 “Adir” milik Israel, ia mungkin tidak berhadapan dengan banyak masalah apabila berhadapan dengan pesawat musuh yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor BVR.”
Pada tahun 2022, pemerintah tertinggi Central Command (CENTCOM) tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah Jeneral Frank McKenzie memberitahu bahawa negara itu akan membekalkan pesawat-pesawat pejuang F-15 kepada Mesir.
Laporan pada tahun 2022 menyatakan bahawa Israel menyokong penjualan F-15 itu kepada Mesir, tetapi keadaan mungkin sudah berubah pada ketika ini dengan hubungan di antara kedua-dua negara berjiran itu berada di dalam keadaan yang tegang akibat konflik bersenjata antara Tel Aviv dan Palestin.

Meteor

Meteor
Eurofighter Typhoon dengan “Meteor”

 

Walaupun Amerika Syarikat membayangkan hasratnya untuk “menamatkan” penantian 40 tahun Kaherah terhadap pesawat pejuang F-15, namun pemerhati bersetuju bahawa Washington juga tidak akan memberikan “pakej penuh” pesawat itu termasuk peluru berpandu udara-ke-udara BVR,  AIM-120 AMRAAM kepada Mesir.
Seperti biasa, alasan Amerika Syarikat kerana enggan menjual peluru berpandu AIM-120 AMRAAM kepada Mesir adalah bantahan Israel dan untuk memelihara kelebihan kualiti ketenteraan Israel berbanding negara jirannya itu.
Peluru berpandu udara-ke-udara BVR Meteor dan AIM-120 AMRAAM adalah peluru berpandu jarak jauh.– DSA

Comments
Loading...