Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Dua Buah Kereta Kebal Challenger 2 Britain Dimusnah Tentera Russia di Kursk

(VIDEO) Pemerhati tentera Russia mendakwa hanya beberapa hari selepas dikerah untuk menyokong pencerobohan tentera Ukraine terhadap wilayah Russia di Kursk, kereta kebal kebanggaan Britian itu musnah akibat dibedil oleh dron berani mati “Lancet” dan helikopter penyerang Russia.

0 1,294

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 15 Ogos yang lalu, rakaman video yang didapati menerusi aplikasi mesej Telegram menunjukkan bahawa tentera Ukraine telah mengerahkan kereta kebal Challenger 2 yang dibekalkan oleh Britain dalam pencerobohannya terhadap wilayah Kursk di Russia.

Bagaimanapun, pemerhati tentera Russia mendakwa hanya beberapa hari selepas dikerah untuk menyokong pencerobohan tentera Ukraine terhadap wilayah Russia di Kursk, kereta kebal kebanggaan Britian itu musnah akibat dibedil oleh dron berani mati “Lancet” dan helikopter penyerang Russia.

Kemusnahan kereta kebal Challenger 2 yang dioperasi oleh tentera Ukraine itu didakwa berlaku di kawasan bernama Sudzha, di wilayah Kursk yang terletak lebih daripada 600km daripada ibu negara Russia, Moscow.

Bedilan daripada dron berani mati “Lancet” itu dilapor telah menyebabkan kompartmen peluru meriam kereta kebal itu meletup, sekaligus menyebabkan keseluruhan kereta kebal buatan Britain itu musnah sepenuhnya.

Rakaman kereta kebal Challenger 2 itu dibedil oleh dron berani mati “Lancet” telah tersebar di media-media sosial Russia. (video dibawah)

Malah terdapat dakwaan daripada pemerhati tentera Russia yang mendakwa bahawa ia adalah insiden kedua di Kursk dimana tentera Russia berjaya memusnahkan kereta kebal Challenger 2 buatan Britain yang sering didakwa sebagai antara kebal kebal terbaik dunia pada ketika ini.

Insiden pertama didakwa berlaku apabila helikopter KA-52 Russia melancarkan peluru berpandu Vikhr yang memusnahkan kereta kebal Challenger 2 yang pertama di wilayah bergolak Kursk, Russia itu. 

Terdapat juga dakwaaan menyatakan beberapa hari sebelum kereta kebal Challenger 2 itu musnah dibedil oleh dron berani mati “Lancet”, sebuah kereta kebal M1A1 Abrams yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine juga telah menerima nasib yang sama di Kursk akibat bedilan “Lancet.”

Sejak konflik di Ukraine tercetus pada Februari 2022, dron berani mati “Lancet” yang dibangunkan oleh syarikat ZALA Aero telah berjaya memusnahkan pelbagai aset dan kelengkapan milik tentera Ukraine.

Terdapat juga laporan media menyatakan bahawa dron berani mati “Lancet” keluaran Russia merupakan diantara sistem persenjataan yang paling digeruni oleh anggota tentera Ukraine.

Untuk pencerobohan tentera Ukraine terhadap wilayah Russia di Kursk, rakaman-rakaman di media sosial juga telah menunjukkan dron berani mati “Lancet” itu telah memusnahkan lebih daripada satu dozen kereta perisai dan kereta-kereta kebal milik tentera Ukraine.

(Rakaman video di bawah menunjukkan helikopter penyerang KA-52 Russia melancarkan peluru berpandu Vikhr yang memusnahkan kereta kebal Challenger 2 dioperasi oleh tentera Ukraine di wilayah Kursk)

Britain yang merupakan penyokong tegar kepada Ukraine telah membekalkan 14 buah kereta kebal Challenger 2 kepada Kiev pada 2023, tetapi laporan mendakwa dua daripada kereta kebal kebanggaan Britain itu telah pun dimusnahkan oleh tentera Russia.

Kesemua 14 buah kereta kebal “Challenger 2” itu dipercayai dioperasikan oleh 82nd Air Assault Brigade Tentera Ukraine, yang merupakan briged elit yang mengoperasikan kebanyakkan daripada senjata-senjata yang didermakan oleh negara-negara Barat.

Terdapat juga laporan menyatakan bahawa kerana bimbangkan reputasi kereta kebalnya itu akan terjejas jika lebih banyak kereta kebal Challenger 2 itu musnah dibedil oleh tentera Russia, maka Britain telah mengarahkan Ukraine untuk menarik balik operasi kereta kebal itu daripada medan peperangan.

Namun kemusnahannya di Kursk itu membuktikan bahawa kereta kebal Challenger 2 seberat 69 tan itiu yang dioperasikan oleh tentera Ukraine digunakan secara aktif di medan peperangan.

Tahun lepas, akhbar British mendakwa kerajaan negara itu telah merangka pelan bagaimana hendak memindahkan kereta kebal Challenger 2 itu daripada Ukraine sekiranya ia berhadapan dengan kemungkinan dimusnah atau ditawan oleh tentera Russia.

Kedua-dua pihak iaitu Britiain dan Ukraine dikatakan telah merancang satu pelan tentang bagaimana untuk “menyelamatkan” kereta kebal Challenger itu daripada tentera Russia.

Challenger
Detik terakhir kereta kebal Challenger 2 sebelum dimusnahkan oleh tentera Russia di Kursk.

 

Apa yang paling membimbangkan pihak Britain adalah armor kereta kebal Challenger itu yang disifatkan sebagai satu rahsia yang perlu dikawal ketat.

Kereta kebal Challenger itu dilengkapi dengan armor komposit yang canggih, diperbuat daripada bahan-bahan seperti uranium, ceramic dan besi. 

Kebimbangan Britain tentang “rahsia-rahsia” yang bakal dicungkil oleh pihak Russia sekiranya kereta kebal Challenger itu ditawan adalah sama sebagaimana dihadapi oleh Amerika Syarikat apabila ia menghantar kereta kebal Abrams ke Ukraine.

Amerika Syarikat dikatakan telah bertindak “menanggalkan” komponen-komponen sensitif daripada kereta kebal utama M1A1 Abrams sebelum kereta kebal itu dihantar ke Ukraine untuk berhadapan dengan tentera Russia.

Washington berbuat demikian bagi mengelak komponen-komponen senstitif itu jatuh ke tangan tentera Russia sekiranya kereta kebal M1A1 Abrams itu ditawan di medan konflik di Ukraine. — DSA

 

Comments
Loading...