Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Amerika Kerah 12 Buah F-22 “Raptor” ke Timur Tengah. Dikesan Mendarat di Qatar

(VIDEO) Pesawat-pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat F-22 "Raptor" itu dilaporkan telah mendarat di Pangkalan Udara Al-Udeid di Qatar, yang merupakan pangkalan udara terbesar Amerika Syarikat di Timur Tengah.

0 7,851

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah mengerahkan 12 buah pesawat pejuang halimunannya F-22 “Raptor” ke Timur Tengah, sebagai sebahagian daripada langkah mempertingkatkan lagi kuasa tempurnya untuk menangani sebarang ancaman terhadap Israel oleh Iran.

Pesawat-pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat itu dilaporkan telah mendarat di Pangkalan Udara Al-Udeid di Qatar.

 Pangkalan Udara Al-Udeid di Qatar itu adalah pangkalan udara Amerika Syarikat terbesar di Timur Tengah, menempatkan lebih darpada 10,000 anggota tentera negara itu dan pelbagai pesawat pejuang serta pesawat kombat yang lain.

Kerahan pesawat pejuang halimunan itu dikesan melakukan penerbangan jarak jauh daripada pangkalannya di JointBase Elmendorf-Richardson di Alaska sebelum mendarat di Pangkalan Udara Royal Air Force (RAF) di Lakenheath pada 6 Ogos lalu.

(VIDEO DI BAWAH) Pesawat-pesawat pejuang F-22 “Raptor” milik Tentera Udara Amerika Syarikat dirakam sedang mendarat di Pangkalan Udara Royal Air Force (RAF) di Lakenheath, England.

Berlepas daripada Lakenheath, pesawat-pesawat pejuang F-22 sambil ditemani oleh pesawat pengisi minyak itu telah meneruskan penerbangan menuju ke Timur Tengah dan dikesan telah melakukan pendaratan di Pangkalan Udara Al-Udied, Qatar itu.

Kerahan pesawat-pesawat pejuang halimunan Tentera Udara Amerika Syarikat itu dilakukan selepas Jabatan Pertahanan negara itu mengesahkan bahawa ia akan menghantar skuadron pesawat pejuang tambahan ke Timur Tengah selepas Presiden Jo Biden menyatakan ia akan “menambah kekuatannya ketenteraannya” di rantau bergolak  itu.

Penambahan kekuatan ketenteraan Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah itu menyusuli ancaman oleh Iran untuk melancarkan serangan balas besar-besaran terhadap Israel selepas Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dibunuh di Teheran baru-baru ini.

Pesawat pejuang F-22 itu adalah pesawat air-dominance dengan Radar Cross Section (RCS) amat rendah yang berkemampuan membawa sehingga enam buah peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh, AIM-120 AMRAAM dan dua buah peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat, AIM-9 Sidewinder.

Selain itu, peluru berpandu itu juga dilengkapi dengan meriam Gatling M61A2 20mm dan 480 butir peluru.

F-22
F-22 “Raptor”

 

Baru-baru ini, Amerika Syarikat juga dilaporkan telah mengerah 12 buah kapal perang ke Timur Tengah, sebagaimana diberitahu oleh pegawai Jabatan Pertahanan negara itu kepada Washington Post.

Kumpulan kapal-kapal perang Amerika Syarikat itu termasuk kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt (CVN-71) dan Wasp Amphibious Ready Group, meliputi tiga buah kapal amfibia membawa lebih daripada 4,000 anggota tentera Marin negara itu.

Kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt dilapor sedang beroperasi di Teluk Parsi dan Laut Arab sambil diiringi oleh enam buah kapal perang kapal destroyer kelas-Arleigh Burke termasuk USS John S.McCain (DDG-56) dan USS Laboon (DDG-58).

Empat buah kapal perang permukaan destroyer kelas-Arleigh Burke adalah USS Russel (DDG-59), USS Cole (DDG-67), USS Michael Murphy (DDG-112) dan USS Daniel Inouye (DDG-118).

Sementara itu Wasp Amphibious Ready Group pula terdiri daripada kapal USS Wasp (LHD-1), USS New York (LPD-21), USS Oak Hill (LSD-51) dan 2,500 anggota Marin daripada 24th Marine Expeditionary Unit.

USS Theodore Roosevelt
USS Theodore Roosevelt (CVN-71)

 

Kumpulan kapal-kapal perang itu turut termasuk USS Roosevelt (DDG-80) dan USS Bulkeley (DDG-84) yang kini berada di Laut Mediterranean.

Pada ketika ini, Wasp Amphibious Ready Group sedang belayar di Laut Mediterranean, tidak jauh daripada perairan Israel.

Kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt dan Wasp Amphibious Ready Group membawa ratusan pesawat pejuang yang sudah pasti akan digunakan oleh Amerika Syarikat untuk mempertahankan Israel daripada serangan peluru berpandu dan dron-dron berani sama ada daripada Iran atau kumpulan-kumpulan proksinya di Timur Tengah. — DSA

Comments
Loading...