Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Friget TLDM “KD Lekiu” Sertai Eksesais Multilateral Terbesar Dunia, RIMPAC 2024

KD Lekiu akan menempuh tempoh pelayaran hampir 100 hari, merangkumi jarak pelayaran sejauh 12,730 batu nautika. Kapal juga akan melaksanakan pelbagai latihan yang dirancang, termasuk penembakan misil ke sasaran kapal sebenar.

0 2,249

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal friget kelas-Lekiu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), “KD Lekiu” (FFG30) akan menyertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024 di Pearl Harbor, Hawaii, menurut kenyataan media sosial oleh TLDM.

Majlis Pelepasan KD Lekiu telah disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin bin Hj Ludin di Tambatan Pangkalan Lumut, semalam.

Pelepasan bersejarah ini turut dihadiri oleh Pegawai Kanan, Pegawai Memerintah di Armada Barat TLDM dan ahli keluarga KD Lekiu.

Eksesais itu merupakan eksesais multilateral terbesar di dunia dan RIMPAC 2024 bakal menyaksikan penyertaan lebih dari 30 negara dengan penglibatan sebanyak 40 buah kapal, empat kapal selam dan 170 pesawat.

RIMPAC 2024 merupakan penglibatan ketiga TLDM dan kali kedua bagi KD Lekiu yang telah menyertainya buat kali pertama pada tahun 2018 dan diteruskan dengan penyertaan KD Lekir pada tahun 2022.

KD Lekiu
KD Lekiu (TLDM)

 

Menurut kenyataan oleh TLDM itu, objektif eksesais kali ini adalah untuk melatih keupayaan gabungan pasukan RIMPAC dalam persekitaran maritim dinamik bagi menunjukkan kesalingoperasian berterusan merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan.

Sepanjang eksesais ini, KD Lekiu yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Kepten Mahamad Nazir bin Darus TLDM, akan menempuh tempoh pelayaran hampir 100 hari, merangkumi jarak pelayaran sejauh 12,730 batu nautika.

Kapal juga akan melaksanakan pelbagai latihan yang dirancang, termasuk penembakan misil ke sasaran kapal sebenar.

 Penyertaan ini adalah satu kebanggaan bagi negara dan menjadi penanda aras keupayaan TLDM dalam memastikan semua asetnya berfungsi dengan cemerlang.

Penyertaan TLDM dalam RIMPAC 2024 membawa beberapa mesej penting dan manfaat kepada negara iaitu menunjukkan keupayaan dan kesiapsiagaan TLDM dalam melaksanakan operasi maritim yang kompleks dan mencabar, menurut TLDM.

KD Lekiu
KD Lekiu (TLDM)

 

Ia juga meningkatkan kesalingoperasian antara TLDM dengan kesemua angkatan laut antarabangsa yang menyertai eksesais ini.

Selain itu, eksesais ini dijadikan platform anggota TLDM untuk menimba ilmu dan pengalaman baru melalui latihan bersama yang intensif.

Di samping itu juga, penyertaan ini akan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan pertahanan Malaysia dengan negara-negara lain melalui interaksi dan kerjasama erat. 

Kapal friget kelas-Lekiu merupakan aset moden utama di dalam armada Tentera Laut Diraja Malaysia.

Terdapat dua buah friget di dalam kelas ini iaitu FFG29 KD Jebat dan FFG30 KD Lekiu.

Lekiu
KD Lekiu (Gambar Fail)

 

Frigat ini telah dibina oleh syarikat Yarrow Shipbuilders UK di Glasgow (kini BVT Surface Fleet) berdasarkan rekabentuk friget ringan, FS 2000. 

KD Lekiu telah dilancarkan pada bulan Disember 1994 sementara KD Jebatpula dilancarkan pada bulan Mei 1995. — DSA

Comments
Loading...