Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[Video] Insiden Heli Korbankan Bekas Kdr TLDM Dan CEO, Bekas CEO MAS Selamat

0 951

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Insiden sebuah helikopter terhempas di Taman Melawati, Kuala Lumpur hari ini telah mengorbankan seorang bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kdr (B) Mohamad Sabri Baharom, 56, yang juga ketua instruktur penerbangan di MY Heli Club.

Turut terbunuh dalam insiden itu adalah Mohd Irfan Mohamed Rawi, 44, seorang ketua pegawai eksekutif syarikat yang berasal daripada Pengkalan Chepa, Kelantan.

Heli

Manakala bekas ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines, Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan seorang wanita, Tan Chai Eian terselamat, selepas helicopter dinaiki mereka membuat pendaratan cemas, tidak jauh daripada kawasan kemalangan.

Ahmad Jauhari dikatakan adalah presiden MY Heli Club.

Saat-saat akhir sebelum helikopter dinaiki oleh Komander (B) Mohamad Sabri Baharom dan Mohd Fikri Mohamed Rawi terhempas, menyebabkan kedua-duanya maut. (video orang awam)

Kemalangan itu membabitkan dua helikopter (9M-HCA & 9MHCB) jenis Guimbal Cabri G2 yang  berlaku ketika kedua-dua helikopter tersebut sedang melakukan latihan penerbangan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dengan setiap pesawat membawa dua orang.

Helikopter Guimbal Cabri adalah helikopter ringan dua tempat duduk dan direkabentuk oleh bekas jurutera Eurocopter, Bruno Guimbal.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha dipetik berkata media tempatan bahawa kedua-dua helikopter itu dalam penerbangan dari Subang ke Genting Sempah.

Ahmad Jauhari
Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Eian terselamat dalam insiden helikopter di Taman Melawati hari ini. (sumber Twitter)

Terdapat juga laporan mengatakan kedua-dua helikopter itu berlanggar sesama sendiri di udara sebelum salah satu daripadanya terhempas.

Siasatan untuk mengenalpasti punca kemalangan helikopter itu kini akan dikendalikan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Kedua-dua yang terselamat dalam kejadian itu juga telah dipanggil untuk memberi keterangan esok bagi membantu siasatan bagi mengenalasti punca insiden itu.

Heli
Heli yang dinaiki oleh Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Eian. (sumber Twitter)

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...