Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Peluru Berpandu “Patriot” Meletup Secara Tiba-Tiba Ketika Latihan Di Taiwan

Sudah pasti, insiden peluru berpandu “Patriot” itu meletup secara tiba-tiba dalam satu latihan tentera ‘memalukan’ Amerika Syarikat yang membangunkan sistem itu serta Taiwan yang ingin menunjukkan kepada China bahawa ia memiliki sistem pertahanan udara yang kukuh untuk menangani sebarang pencerobohan oleh Beijing.

0 7,075

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebutir peluru berpandu sistem pertahanan udara “PAC-3 Patriot” buatan Amerika Syarikat milik tentera Taiwan meletup secara tiba-tiba tanpa mengenai sasaran, tidak lama selepas ia dilancarkan dalam satu latihan di pulau itu.

Video mengenai kejadian itu telah tersebar di media sosial di pulau yang didakwa oleh China sebagai miliknya.

Ketua Staff Tentera Udara Taiwan Jeneral Tsao Chin-ping mengesahkan tentang kejadian baru-baru itu yang mula dilaporkan oleh media sosial pulau itu.

Beliau menyatakan bahawa tentera udara dan National Chung Shan Institute of Science and Technology (NCSIST),sebuah agensi penyelidikan milik angkatan tentera negara itu sedang menjalankan kajian tentang punca berlakunya insiden tersebut.

Insiden melibatkan sistem pertahanan udara “Patriot” buatan Amerika Syarikat milik Taiwan itu berlaku ketika ketegangan semakin memuncak di antara China dengan pulau yang disokong kuat oleh Washington.

Sudah pasti, insiden peluru berpandu “Patriot” itu meletup secara tiba-tiba ‘memalukan’ Amerika Syarikat yang membangunkannya serta Taiwan yang ingin menunjukkan kepada China bahawa ia memiliki sistem pertahanan udara yang kukuh untuk menangani sebarang pencerobohan oleh Beijing.

Pada ketika ini, tentera udara China sedang melaksanakan latihan melibatkan pesawat-pesawat pejuang dan pengebomnya di ruang udara berhampiran Taiwan.

Menurut laporan, ia merupakan insiden pertama dialami oleh sistem pertahanan udara “Patriot” milik tentera Taiwan, di mana ia tiba-tiba meletup tanpa mengenai sasarannya.Patriot

Media negara pulau itu, Liberty Times melaporkan bahawa, bagi menangani tindak-tanduk tentera China yang semakin agresif sejak akhir-akhir ini, tentera Taiwan telah mempercepatkan ujian pelbagai sistem persenjataannya termasuk sistem pertahanan udara “Patriot” yang dibelinya daripada Amerika Syarikat.

Kira-kira 6.30 pagi (waktu tempatan) pada 15 Ogos yang lalu, pangkalan tentera Jiupeng telah bersiap-sedia untuk melaksanakan latihan tentera melibatkan sistem pertahanan udara “Patriot”.

Latihan tentera itu telah menarik perhatian banyak pihak terutamanya penganalisis ketenteraan yang berkumpul untuk menyaksikan latihan itu.

Namun apa yang mengejutkan mereka adalah peluru berpandu “Patriot” itu telah secara tiba-tiba meletup tanpa mengenai sasarannya, suatu insiden yang menarik perhatian pelbagai pihak di Taiwan untuk membincangkannya.

Bagaimanapun, peluru berpandu “Patriot” yang kedua telah berjaya memusnahkan sasarannya, tidak lama selepas peluru berpandu pertama mengalami kerosakkan sehingga menyebabkan ia meletup secara tiba-tiba.

Patriot
Sistem pertahanan udara “Patriot”

 

Sistem pertahanan udara “Patriot” itu telah menarik perhatian ramai sejak ia dioperasikan oleh tentera Ukraine serta dakwaan kejayaannya menembak jatuh peluru berpandu hypersonik “Khinzal” yang digunakan oleh Russia untuk membedil ibu negara, Kiev.

Pada Januari lalu, tentera Taiwan memaklumkan bahawa ia telah mula menempatkan sistem pertahanan udara “Patriot” di kawasan-kawasan pesisir pantai di utara pulau itu.

China amat tidak senang dengan kehadiran sistem pertahanan “Patriot” sama ada di Taiwan atau di tempat-tempat lain.

Pada Mei lepas, Beijing turut menyelar tindakan Jepun meletakkan sistem pertahanan udara itu di Selat Miyako. — DSA   

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...