Bimbang Di Intip, China Bantah Sistem THAAD Di Korea Selatan
Sistem radar yang digunakan oleh THAAD (Terminal High Altitude Area Defense) berkemampuan tinggi, dengan jarak pengesanan pelancaran peluru berpandu balistik di antara 1,500km hingga 2,000km. Beijing bimbang sekiranya radar THAAD itu dihalakan kearahnya, ia boleh mengesan sebarang bentuk pelancaran peluru berpandu balistik oleh China atau segala aktiviti ketenteraan negara itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan Amerika Syarikat meletakkan sistem pertahanan anti-balistik THAAD (Terminal High Altitude Area Defense) di Korea Selatan untuk menangani ancaman peluru berpandu Korea Utara telah membuatkan China “tidak senang duduk” dan berasa bimbang.
Mengapa Beijing bimbang dengan kehadiran sistem pertahanan anti-balistik THAAD di Korea Selatan, walhal fungsi utamanya adalah untuk menangani ancaman peluru berpandu balistik Pyongyang?
THAAD merupakan sistem anti-balistik yang direka untuk menembak jatuh peluru berpandu balistik jarak, sederhana dan jauh ketika ia masih di dalam penerbangan (mid-course), dengan jarak operasi sejauh 200km dan altitude sehingga 150km.
Namun apa yang dibimbangkan oleh China adalah sistem radar berkuasa tinggi AN/TPY-2 yang digunakan oleh sistem THAAD itu.
Sistem radar yang digunakan oleh THAAD berkemampuan tinggi, dengan jarak pengesanan pelancaran peluru berpandu balistik adalah di antara 1,500km hingga 2,000km.
Beijing bimbang kerana sekiranya sistem radar itu dihalakan ke arah negara itu, ia boleh mengesan sebarang bentuk pelancaran peluru berpandu balistik oleh China atau segala aktiviti ketenteraan negara itu.
Radar berkuasa tinggi THAAD itu akan mengawasi sebahagian besar kemudahan tentera China.
China tidak mahu Amerika Syarikat menggunakan Korea Selatan untuk mengintip mereka dan sebab itulah mereka membantah habis-habisan tindakan Washington menempatkan sistem THAAD dengan sistem radarnya yang berkuasa tinggi berhampiran dengan sempadannya.
Seawal tahun 2016, China telah membantah keras keputusan Korea Selatan untuk menempatkan sistem THAAD milik Amerika Syarikat di negara itu,dengan mengenakan sekatan ekonomi dan kebudayaan terhadap Seoul.
Sekatan ekonomi oleh Beijing itu telah menyebabkan kerugian yang besar terhadap syarikat-syarikat Korea Selatan.
Sekatan ekonomi dan kebudayaan China terhadap Korea Selatan hanya ditarik balik pada 2017 apabila Presiden Korea Selatan pada ketika bersetuju untuk tidak membenarkan penempatan sistem THAAD itu.
Bagaimanapun ketegangan di antara Beijing dan Seoul memuncak kembali pada tahun ini apabila Yoon Suk Yeol dilantik sebagai Presiden Korea Selatan tahun ini dan tidak lama selepas perlantikannya telah membenarkan penempatan sistem pertahanan anti-balistik THAAD.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Sistem THAAD itu akan ditempatkan di sebuah pangkalan tentera di Seongju, wilayah Utara Gyeongsang yang terletak kira-kira 200km daripada Seoul.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata bahawa sistem THAAD itu akan meningkatkan kemampuan pertahanan menangani ancaman peluru berpandu Korea Selatan dan pertahanan aset-aset asasnya yang lain. — DSA
Jom!!!! follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore