Tanpa Senjata, Tetapi China Amat “Risau” Dengan Kehadiran “USNS Impeccable” Di Laut China Selatan
Walau tidak membawa sebarang senjata, tetapi kehadiran kapal USNS Impeccable ini amat "digeruni"oleh Beijing.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun tidak membawa sebarang senjata tetapi kehadiran kapal “USNS Impeccable” (T-Agos-23) milik Tentera Laut Amerika Syarikat di Laut China Selatan memang tidak disukai oleh Beijing.
Mengapa? USNS Impeccable bukan sebuah kapal perang yang dilengkapi dengan senjata canggih seperti kapal pengangkut pesawat atau kapal destroyer kelas “Arleigh Burke” Amerika yang didakwa China sering membuat “kacau” di Laut China Selatan yang didakwa Beijing sebagai miliknya.
USNS Impeccable adalah “ocean surveillance ship” yang dilengkapi dengan peralatan-peralatan dan sensor yang canggih seperti “SURTASS passive and active low frequency sonar array” untuk memantau apa-apa pergerakan atau ancaman di dasar laut atau lebih tepat kapal selam.
Menurut SCS Probing Initiative (SCSPI) yang dikawal selia oleh pihak akademik China, sejak 23 Februari yang lalu, kapal canggih tentera laut Amerika Syarikat itu berada di Kepulauan Paracel di Laut China Selatan dipercayai untuk mengumpul apa-apa maklumat acoustic dan mengesan kehadiran kapal selam China. Sebagaimana yang kita ketahui, Kepulauan Paracel ini berada tidak jauh daripada Pulau Hainan yang menempatkan pangkalan laut Yulin, yang merupakan pangkalan utama bagi kapal-kapal selam China termasuk yang berkuasa nuklear.
Daripada pangkalannya di Yulin di Pulau Hainan, kapal-kapal selam China belayar ke Laut China Selatan atau ke Pasifik.
Sejak hari pertama kapal pengesan kapal selam milik Amerika Syarikat itu berada di Laut China Selatan, Beijing telah menghantar kapal-kapal pengawal pantainya (CCG 3304) untuk mengekori (shadow) USNS Impeccable.
Malah, punyalah China “takut” dengan USNS Impeccable ini, terdapat laporan oleh penganalisa situasi di Laut China Selatan mengatakan Beijing telah mengerah beberapa pesawat pejuangnya berpengkalan di Pulau Hainan untuk melakukan “simulasi serangan” terhadap kapal ocean marine surveillance Amerika Syarikat itu pada 25 Februari lepas.
Pada ketika tentera China sedang melakukan “latihan perang” di Laut China Selatan.
Walaupun begitu, ia tidak mengentarkan USNS Impeccable yang terus berada di Kepulauan Paracel sehingga pada hari ini, meneruskan kerja-kerjanya iaitu mengesan kehadiran kapal-kapal selam China.
USNS Impeccable yang berpengkalan di Yokohama, Jepun bukan asing kepada Laut China Selatan kerana selama beberapa tahun ia menjadikan perairan itu sebagai “tapak permainannya” dalam usaha untuk mengesan kapal-kapal selam China.
Kapal seberat lebih 5,000 tan dan membawa kira-kira 50 anak kapal terdiri daripada anggota tentera dan awam itu memang amat arif dengan Laut China Selatan.
Pada 8 Mac, 2009 USNS Impeccable terlibat dalam satu insiden “standoff” dengan lima buah bot nelayan China yang dipercayai adalah militia maritim negara itu, ketika kapal Amerika Syarikat itu sedang beroperasi di perairan antarabangsa kira-kira 70 batu di selatan Pulau Hainan.
Ketika mahu beredar daripada kawasan perairan itu, krew nelayan China berusaha untuk merampas sonar yang sedang ditarik oleh USNS Impeccable itu.
Beberapa hari selepas itu, Washington mengerahkan sebuah kapal perangnya daripada kelas “Arleigh Burke” untuk menjaga USNS Impeccable dan memastikan operasinya tidak lagi berhadapan dengan gangguan daripada pihak China.
Pada ketika itu, Amerika Syarikat berada dibawah pemerintahan Barack Obama dan inisiden telah menyebabkan ketegangan hubungan di antara Washington dengan Beijing.
Dikatakan insiden itu berlaku kerana China mahu melindungi operasi kapal selamnya “Type 093” yang sedang beroperasi di perairan terbabit.