Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Serangan Udara Pesawat Pejuang Amerika Di Syria Korbankan 22 Militan Pro-Iran?

0 65

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Serangan udara Amerika Syarikat terhadap kedudukan militan pro-Iran di sempadan Iraq-Syria didakwa telah mengorbankan kira-kira 22 anggota kumpulan militan terbabit, menurut pemerhati di Syria.

Pemerhati konflik di Syria, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) berkata, serangan yang berlaku di Al-Bukamal itu turut memusnahkan tiga buah trak membawa bahan letupan milik kumpulan militant pro-Iran itu ketika ia menyeberang sempadan dari Iraq ke Syria.

al-Bukamal
Kesan kemusnahan akibat serangan udara Amerika di pangkalan Imam Ali di Al-Bukamal.

Bagaimanapun dakwaan oleh pihak SOHR ini dinafikan oleh pihak tentera Amerika Syarikat yang hanya mengatakan dua orang terbunuh dalam serangan itu.

Menurut pihak tentera Amerika Syarikat, serangan udara itu dilakukan oleh dua buah pesawat pejuang F-15 Eagle yang telah mengugurkan tujuh butir bom panduan Global Positioning System (GPS) JDAM (Joint Direct Attack Munitions) seberat 500 pound setiap satu terhadap pengkalan darat “Imam Ali” yang menempatkan militan-militan daripada Kataib Hezbollah dan Kataib al-Shuhada.

JDAM
Bom panduan GPS “JDAM” 500 pound yang digunakan terhadap pangkalan Imam Ali di al-Bukamal.

Pangkalan darat “Imam Ali” yang terletak di timur Syria bersempadan dengan Iraq telah beberapa kali diserang oleh pesawat-pesawat tentera Israel sebelum ini kerana ia menjadi “pintu masuk” kepada senjata Iran ke Syria.

Serangan udara oleh pesawat-pesawat pejuang Amerika itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap serangan roket oleh militant-militan pro-Iran di kawasan berhampiran lapangan terbang Erbil di Kurdistan, utara Iraq.

Serangan roket oleh militant pro-Iran itu membunuh seorang kontraktor awam dan mencederakan seorang tentera Amerika Syarikat serta lapan kontraktor awam yang lain.

Sejurus selepas serangan roket terhadap kedudukan tentera Amerika dan Bersekutu itu, satu kumpulan militant yang pro-Iran telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Sementara itu agensi berita Fox News menerusi sumber-sumbernya di dalam tentera Amerika Syarikat mengatakan Washington telah meningkatkan tahap berjaga-jaga bagi anggota tenternya yang berada di Iraq.

Peningkatan tahap berjaga-jaga itu adalah kerana tentera Amerika khuatir akan ada serangan balas daripada kumpulan militant pro-iran terhadap kedudukan tenteranya di Iraq, selepas serangan udara itu.

– DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...