Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kumpulan Penggodam “Anonymous Malaysia” Sudah Kantol

0 1,730

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sebelas lelaki ditahan pihak polis dalam serbuan berasingan di seluruh negara dipercayai terbabit dalam aktiviti menggodam sistem komputer kerajaan.

Sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melakukan tujuh serbuan di sekitar Lembah Klang, Perak, Johor, Pahang hasil risikan dan intipan sejak seminggu lepas.

Hacker
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua suspek yang ditangkap itu berusia di antara 22 hingga 40 tahun.

Siasatan mendapati ada antara yang ditahan adalah pentadbir akaun Facebook Anonymous Malaysia, katanya. “Tangkapan dibuat ekoran ugutan dan ancaman oleh kumpulan berkenaan untuk menggodam sistem komputer kerajaan sejak beberapa tahun lalu dan setakat ini enam laporan polis diterima di seluruh negara. Pada masa ini, pihak polis masih lagi dalam proses menjalankan siasatan dengan lebih lanjut untuk mengenal pasti saki baki suspek lain sebelum proses tangkapan susulan dilakukan,” katanya hari ini.

Hacker
Gambar Hiasan.

Acryl Sani berkata, kesemua suspek yang ditahan disyaki menjalankan serangan siber terancang terhadap laman web kerajaan dan swasta.

Kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 4, Akta Jenayah Komputer 1997.

Pada 26 Januari lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan.

Notis amaran itu meminta semua pihak supaya mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

Ia berikutan ancaman untuk menggodam laman web kerajaan menerusi penularan satu video di media sosial dikeluarkan ‘Anonymous Malaysia’ di platform media sosial baru-baru ini.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...