Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[Video] Tentera Turki Berarak Sambut Kemenangan Azerbaijan

0 1,015

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Turki akan turut serta dalam perbarisan tentera di Baku, ibu negara Azerbaijan bagi meraikan kemenangan negara selatan Kaukasus itu ke atas Armenia di dalam konflik di Nagorno-Karabakh baru-baru ini.

Perbarisan yang dinamakan “Victory Parade” itu akan berlangsung pada 10 Dis ini (esok).

Presiden Turki Recep Tayyep Erdogan juga dijangka akan terbang ke Baku untuk menyertai rakan sejawatnya daripada Azerbaijan, Ilham Aliyev untuk meraikan kemenangan tentera Azerbaijan dalam perbarisan kemenangan itu.

Turki yang mempunyai hubungan sejarah dengan Azerbaijan merupakan penyokong terkuat dan pembekal senjata utama kepada tentera Azerbaijan di dalam usaha mereka untuk merampas kembali wilayah bergolak Nagorno-Karabakh yang selama ini berada di bawah pemerintahan etnik Armenia.

Turki
Tentera Turki dalam raptai perbarisan kemenangan di Baku, ibu negara Azerbaijan.

Nagorno Karabakh diakui oleh masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai milik Azerbaijan.

Menurut Kementerian Pertahanan Azerbaijan, tentera Turki itu dijemput khas oleh Presiden Aliyev untuk turut serta di dalam perbarisan tentera yang diadakan secara besar-besaran untuk menyambut kemenangan negara itu mengalahkan Armenia.

Kira-kira 3,000 tentera Turki dan Azerbaijan akan terlibat dalam perbarisan kemenangan itu ditengah-tengah ibu negara Azerbaijan yang dihiasi dengan bendera kedua-dua negara bersaudara itu.

Turki
Tentera Turki dalam raptai perbarisan kemenangan di Baku, ibu negara Azerbaijan.

“Sebanyak 150 kenderaan tentera, peluru berpandu dan kelengkapan tentera yang lain termasuk UAV Bayraktar TB2 juga akan terlibat di dalam perbarisan tentera itu,” menurut kementerian pertahanan Azerbaijan itu.

Pesawat tanpa pemandu “Bayraktar TB2” buatan syarikat Turki merupakan diantara sebab utama di sebalik kemenangan Azerbaijan merampas kembali Nagorno-Karabakh.

Turki
Penduduk Turki dan Azerbaijan mempunyai pertalian darah dan sejarah.

Peperangan selama 44 hari  di Nagorno Karabakh tamat apabila Russia menguatkuasa gencatan senjata yang menyaksikan Azerbaijan menguasai semula sebahagian besar wilayah itu manakala Armenia terpaksa berundur selepas kalah di medan peperangan.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...