Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

24 Buah Helikopter Baru Untuk Ganti “Nuri” – Panglima TUDM

Panglimanya Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, pembelian helikopter-helikopter SAR/Utiliti baru bagi menggantikan Nuri itu akan dilakukan dalam dua peringkat iaitu pada RMK-13 dan RMK-14.

0 13,489

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka akan memperoleh 24 buah helikopter Search and Rescue (SAR)/Utiliti yang baru bagi menggantikan helikopter Sikorsky S-61A4 “Nuri” pada Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) dan Rancangan Malaysia Ke-14 (2031-2035).

Panglimanya Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, pembelian helikopter-helikopter SAR/Utiliti baru bagi menggantikan Nuri itu akan dilakukan dalam dua peringkat iaitu pada RMK-13 dan RMK-14.

“Kumpulan pertama 12 buah helikopter baru itu dirancang untuk memulakan perkhidmatannya (dengan TUDM) pada 2026 untuk menggantikan helikopter yang disewa. Sementara itu kumpulan kedua 12 helikopter baru akan diperoleh selepas itu, menjadikan kesemuanya 24 buah helikopter SAR/Utiliti untuk memenuhi keperluan TUDM,” kata beliau dalam temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris, Asian Defence Journal (ADJ)  keluaran Julai-Ogos.

TUDM merancang untuk memperolehi 24 buah helikopter untuk menggantikan Nuri.

Awal tahun ini, Ackbal mengumumkan operasi 12 buah helikopter Nuri miliknya sudah ditamatkan.

Ackbal
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri  Ackbal Abdul Samad.

 

Beliau berkata, helikopter itu yang berusia 50 tahun telah terlalu uzur untuk beroperasi malah kos penyelenggaraannya juga adalah terlalu mahal.

“Jika TUDM ada duit sekalipun untuk membeli peralatan selenggara Nuri, ia memakan masa yang lama iaitu antara sembilan bulan hingga ke 18 bulan untuk memperoleh alat ganti.

“Selain itu, TUDM mempunyai perancangan untuk menggantikan pesawat berkenaan tetapi ia masih di peringkat penilaian,” katanya dalam satu sidang media awal tahun ini.

Sementara itu Panglima TUDM itu dalam temuramah dengan majalah ADJ itu berkata, usaha penggantikan helikopter Nuri itu akan dilakukan menerusi dua acara,iaitu sewaan helikopter jangka pendek dan perolehan helikoper baru untuk menggantikan Nuri dalam langkah panjang untuk mengatasi masalah penamatkan operasi helikopter Nuri itu.

“Strategi ini bermatlamat untuk memastikan perolehan-perolehan lain dan yang telah dirancang menjadi kenyataan menerusi perbelanjaan berhemah peruntukan kerajaan,” kata beliau.

Nuri
Helikopter S-61A4 “Nuri” (depan) dan helikopter EC-725AP (dibelakang).

 

Beliau menerangkan dengan lebih lanjut tentang langkah jangka pendek itu yang akan menyaksikan TUDM menyewa helikopter-helikopter daripada syarikat penerbangan berlesen di bawah program sewaan itu yang akan bermula pada tahun ini sehinggalah tahun 2026.

Ackbal tidak mendedahkan bilangan helikopter yang akan disewa itu.

Helikopter-helikopter itu akan disewa di bawah konsep “GOCOM” (Government-Operate-Company-Own and Maintain) yang akan memastikan TUDM mencapai misi dan objektifnya.

Pada ketika ini, helikopter-helikopter EC725AP milik TUDM digunakan sepenuhnya untuk melaksanakan keperluan Rotary Air Mobility (RAM), kata panglima dan menambah bahawa TUDM juga merancang untuk menaiktaraf lapan buah helikopter EC725 itu.

Kelapan-lapan buah helikopter EC725 TUDM itu akan dinaiktaraf kepada versi Combat Search and Rescue (CSAR) pada RMK-12 ini.

EC-725AP
Helikopter EC-725AP TUDM

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...