Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thai Musuhi M’sia Kerana Kapal Selam?

0 671

(Defence Security Asia):Nampaknya, Thailand telah menggunakan Malaysia sebagai “bogeyman” (musuh dalam bayangan) di dalam usahanya untuk memenuhi impian sejak sekian lama untuk melengkapkan angkatan tenteranya dengan tiga buah kapal selam daripada China.

Bangkok telah melaungkan bahawa tujuan utama disebalik keghairahannya mendapatkan kapal selam adalah untuk bersaing dengan Malaysia yang telah pun memiliki dua buah kapal selam “Scorpene” buatan syarikat Perancis, DCN.

Thailand mahu memiliki kapal selam sebelum 2027 supaya ia memiliki kemampuan lebih ampuh dalam rundingannya dua halanya dengan Malaysia berkenaan Kawasan Pembangunan Bersama (Joint Development Area) yang terletak di Teluk Siam.

JDA
Kawasan Joint Development Area (JDA) yang dibangunkan secara bersama oleh Malaysia-Thailand. (gambar sumber internet)

JDA ini sebagaimana yang kita ketahui memiliki simpanan gas asli yang banyak.

Perjanjian usahasama Malaysia dan Thailand untuk membangunkan kawasan JDA dijangka berakhir pada 2029, tetapi dalam satu sidang media pada 24 Ogos yang lepas, Tentera Laut Laut menyatakan ia mahukan kapal selam dipesannya daripada China itu beroperasi sebelum perjanjian JDA tamat.

“Jikalau kapal selam itu beroperasi pada 2027, kita (Thailand) tidak lagi akan berada dalam kedudukan yang lemah dan mempunyai kuasa untuk berunding (bargaining power) apabila kita memulakan rundingan berkenaan JDA,” kata Ketua Jabatan Operasi Tentera Laut Diraja Thailand  Laksamana Thalerngsak Sirisawas pada sidang media terbabit.

Walaupun Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan diplomatik yang amat baik, tetapi kedua-dua negara berjiran itu juga dibebani dengan isu tuntutan bertindih di Teluk Siam termasuk JDA yang kaya dengan gas asli.

Bagi mengelak pertelingkahan berpanjangan, kedua-dua negara telah menandatangani perjanjian pada 1979 untuk mengeksploitasi secara bersama sumber hidrokarbon yang terdapat di perairan yang tertakluk di bawah JDA itu.

Walaupun begitu menurut felo pelawat di ISEAS-Institut Yusuf Ishak di Singapura, Termsak Chalermpalanupap, terdapat ketidakpuashan hati dikalangan pegawai-pegawai tentera laut Thailand terutamanya berhubung satu insiden yang berlaku baru-baru ini.

Dalam sidang media pada 24 Ogos itu, Laksamana Thalerngsak telah menyatakan bahawa tentera laut negara asing yang tidak dinamakannya telah menceroboh perairan Thailand dalam usaha mereka menghalang bot membawa pelarian Rohingya daripada memasuki perairan Malaysia. (walaupun tidak menamakan tentera laut berkenaan, tetapi adalah amat jelas beliau merujuk kepada Tentera Laut Diraja Malaysia)

Beliau berkata, Tentera Laut Thailand telah meminta Kementerian Luar negara itu supaya melancarkan protes terhadap pencerobohan itu.

Laksamana Thalerngsak turut berkata, tentera laut negara asing tidak begitu peduli dengan Tentera Laut Thailand kerana mengetahui negara itu tidak mempunyai kapal selam untuk pertahanan bawah laut.

Yuan Class
Kapal selam Kelas Yuan S26T yang bakal diperolehi oleh Tentera Laut Thailand daripada China. (sumber gambar internet)

Kapal-kapal selam asing juga dituduh beroperasi secara rahsia di Teluk Siam dan tentera laut Thailand berharap dengan perolehan kapal selam daripada China itu mampu membolehkannya mencegah kegiatan itu daripada berulang.

Itu adalah justifikasi yang diberikan oleh tentera laut Thailand mengapa ia amat memerlukan kapal selam, pada ketika Parlimen negara ini sedang berusaha untuk membatalkan perolehan itu berikutan masalah ekonomi yang berpunca daripada pandemik COVID-19.

Bagaimanapun Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha hanya melengahkan pembayaran bagi pembelian kapal selam itu selama satu tahun berikutan bantahan daripada rakyat negara itu.

Kerajaan negara itu dijangka menyalurkan 3 billion Baht (RM397 juta) menerusi Bajet 2021 sebagai bayaran awal bagi pembelian kapal selam itu.

Rakyat Thailand mahukan wang bagi pembayaran awal kapal selam itu disalurkan kepada inisiatif-inisiatif pakej ekonomi dan bantuan COVID-19.

Thailand membeli dua buah kapal selam kelas Yuan S26T daripada China bernilai US$720 juta, manakala Beijing memberikan secara percuma kapal selam yang ketiga menurut Prayut.

Bangkok dijangka menerima kapal selam pertama daripada China pada 2024, tetapi berikutan penangguhan pembayaran itu, tempoh penerimaan ia dijangka lebih lama.

— DEFENCE SECURITY ASIA

(maklumat tambahan daripada akhbar The South China Morning Post)

 

 

Comments
Loading...