2026 Tahun Yang Sibuk Untuk TUDM, Mula Terima FA-50M dan ATR 72 MPA
Tahun depan dijangka adalah tahun yang sibuk bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) apabila ia bakal menerima pesawat-pesawat pejuang FA-50M dan pesawat peronda maritim ATR 72 MPA.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada majlis perutusan Tahun Baru 2025 yang berlangsung beberapa hari lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin menyatakan bahawa pembinaan pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50M dan pesawat peronda maritim (MPA) ATR 72 MPA berjalan dengan lancar.
Tahun depan dijangka adalah tahun yang sibuk bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ini adalah kerana, sebagaimana dinyatakan oleh Mohamed Khaled, TUDM akan menerima dua buah pesawat pejuang ringan pertama FA-50M daripada Korea Aerospace Industries (KAI) pada bulan Oktober 2026, manakala bagi pesawat peronda maritim ATR 72 MPA pula, TUDM dijangka akan menerima pesawat-pesawat MPA dibuat oleh syarikat Leonardo itu pada Jun dan Sept 2026.
Pada majlis perutusan Tahun 2025 itu, itu Menteri Pertahanan juga berkata pada ketika ini tahap pembinaan pesawat pejuang ringan FA-50M (Block 20) itu telah pun mencapai 48 peratus.
Semasa melawat sendiri ke KAI di Korea Selatan pada Sept tahun lepas untuk melihat sendiri kerja-kerja pembinaan pesawat-pesawat FA-50M milik Malaysia itu, beliau berkata menerusi akaun Facebooknya bahawa kerja-kerja pembinaan pesawat itu berjalan lancar dan telah mencapai 39 peratus.
TUDM dijangka menerima pesawat-pesawat pejuang FA-50M yang lain secara berperingkat selepas penerimaaan dua buah pesawat pejuang yang pertama pada Oktober 2026.
Pesawat terakhir dijangka diterima pada 2028.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga meminta penghantaran pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50M itu perlu dipercepatkan.
Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M bernilai kira-kira RM4 billion dan dua buah pesawat peronda maritim ATR 72 MPA bernilai kira-kira RM700 juta semasa LIMA 2023.
Menerusi kenyataan dalam FB pada Disember 2024, Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan telah melakukan lawatan kerja ke kemudahan Leonardo di Turin, Itali untuk melihat dengan lebih dekat kerja-kerja pembinaan pesawat peronda maritim ATR 72 MPA milik TUDM itu.
Menurut kenyataan media sosial TUDM Disember tahun lepas itu, delegasi TUDM diketuai oleh Mohd Asghar telah ke LAD Caselle, Turin, lokasi modifikasi pesawat P-72M yang sedang giat dilaksanakan.
“Delegasi (TUDM) telah diberikan taklimat komprehensif mengenai status terkini projek dan meninjau kerja-kerja modifikasi yang telah dilakukan,” menurut kenyataan.
Semasa di Itali, Panglima TUDM juga telah melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatannya, Lt Jeneral Luca Goretti, Ketua Staf Tentera Udara Itali (ITAF), di Ibu Pejabat ITAF di Rome.
Perbincangan empat mata dengan Goretti itu bertujuan mengeratkan lagi kerjasama bilateral di antara kedua-dua tentera udara khususnya dalam aspek latihan dan perkongsian kepakaran ITAF yang berpengalaman luas dalam pengoperasian pesawat MPA jenis tersebut.
Dibawah program CAP55 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), negara merancang untuk memiliki sekurang-kurangnya enam buah pesawat peronda maritim, dengan perolehannya meliputi beberapa Rancangan Malaysia.
Dua buah pesawat peronda maritim itu telah pun diperolehi pada Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) dan empat lagi akan diperolehi dalam dua buah rancangan pembangunan lima tahun yang akan datang.
Dipromosikan sebagai pesawat dengan kos operasi yang rendah, P-72M adalah platform peronda maritim berkeupayaan tinggi yang boleh melaksanakan misi peperangan anti-kapal selam (ASuW), peperangan anti-permukaan (ASW_ serta misi-misi perisikan elektronik (ELINT).
Pesawat rondaan maritim itu boleh berada di udara untuk melaksanakan misi melebihi tempoh selama 8 jam.
Maximum take-off weigh pesawat peronda maritim ini adalah 23 tan dan ia berkemampuan terbang selaju 465km sejam serta terbang setinggi 25,000 kaki.