Indonesia Pintas Kapal China Dipercayai “Lakukan Kerja Risikan Marin”

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal peronda Indonesia telah memintas sebuah kapal penyelidikan marin China, “Xiang Yang Hong 3”yang dipercayai telah dengan sengaja mematikan transponder “Automatic Indentification System” (AIS) ketika belayar di Selat Sunda yang strategik itu.

Kerajaan Indonesia menghendaki semua kapal asing menghidupkan transponder AIS milik mereka ketika belayar di perairannya.

Kedudukan Selat Karimata dimana kapal penyelidik marin China itu mematikan transponder AIS.

AIS apabila diaktifkan akan memberitahu kedudukan kapal terbabit.

Kapal penyelidikan marin China itu belayar daripada pengkalannnya di Sanya, Hainan pada 6 Januari lepas dan dipintas oleh kapal pengawal pantai Indonesia pada 11 Januari ketika berada di Selat Sunda yang menghubungkan Lautan Hindi dengan Laut China Selatan. Krew kapal “Xiang Yang Hong 3” itu memberitahu alat AISnya rosak sebagai alasan mengapa ia tidak mengaktifkannya.

“Pelayaran” kapal penyelidikan marin China sejak 2019. (grafik kredit HI Sutton)

Menurut pihak berkuasa Indonesia, kapal penyelidikan marin China didapati telah mematikan alat AIS sebanyak dua kali ketika berada di dalam perairan Indonesia iaitu pertamanya ketika berlayar perairan Natuna dan keduanya, ketika berada di Selat Karimata di Kepulauan Belitung.

Sejurus selepas kapal penyelidikan marin China itu dipintas, ia diiringi keluar daripada perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia oleh kapal pengawal pantai Indonesia itu.

Pemintasan “Xiang Yang Hong 3” oleh Indonesia itu berlaku tidak lama selepas nelayan negara itu menemui dron dasar laut atau “Underwater Unmanned Vehicle (UUV)” jenis “Sea Wing”  pada 20 Disember tahun lepas berhampiran Pulau Selayar di selatan Sulawesi, tidak jauh daripada Selat Sunda.

Pemerhati percaya dron dasar laut itu dilancar daripada kapal-kapal penyelidikan marin China seperti “Xiang Yang Hong 3.”

Penemuan dron dasar laut Disember lepas itu bukan kali insiden pertama yang berlaku di perairan Indonesia.

Pada Januari tahun lepas, nelayan Indonesia turut menemui sebuah dron dasar laut Sea Wing di Masalembu yang terletak kira-kira 400 batu di barat Pulau Selayar, manakala pada Mac 2020, sebuah dron dasar laut yang sama juga ditemui di kepulauan Riau, berhampiran dengan Natuna.

Dron pengintip dasar laut (Unmanned Underwater Vehicle) milik China yang ditemui oleh nelayan Indonesia di perairan selatan Sulawesi baru-baru ini menunjukkan negara Komunis itu sedang mencari laluan baru di Selat Sunda dan Selat Lombok bagi kapal-kapal selamnya yang mahu ke Lautan Hindi sekiranya laluan di Selat Melaka ditutup untuk kapal-kapal China.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

IndonesiaSea Wing UUVSelat KarimataSelat SundaXiang Yang Hong 3