Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Helikopter PDRM Bawa Pegawai Kanan Keselamatan Malaysia Ke Batuan Tengah?

Helikopter PDRM itu dikatakan singgah terlebih dahulu di Pengerang di mana Rodzi dan delegasi lain menerima penerangan tentang OP Benteng sebelum meneruskan penerbangan ke pangkalan maritim itu.

0 4,081

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Helikopter Leonardo AW139 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyebabkan “kekecohan” di Singapura semalam sehinggakan pesawat pejuang “lengkap bersenjata” republik itu dikerah (scrambled), dikatakan membawa pegawai-pegawai kanan keselamatan kerajaan Malaysia termasuk Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Haji Rodzi Md Saad ke Abu Bakar Maritime Base (ABMB) di Batuan Tengah, Johor.

Helikopter PDRM itu dikatakan singgah terlebih dahulu di Pengerang di mana Rodzi dan delegasi lain menerima penerangan tentang OP Benteng sebelum meneruskan penerbangan ke pangkalan maritim itu.

Antara pegawai-pegawai kanan keselamatan kerajaan Malaysia lain  yang turut berada di dalam helikopter PDRM itu adalah Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhamad Fauzi Tengku Ibrahim.

Lain-lain pegawai kanan keselamatan yang turut serta dalam kunjungan ke pangkalan maritim itu termasuk Pengarah APMM Johor, Pengarah Keselamatan Negeri Johor, Timbalan Pengarah SPRM Johor, Timbalan Ketua Cawangan Khas Polis Johor dan lain-lain lagi.

Menurut catatan di dalam akaun Facebook beliau, Rodzi berkata, beliau telah diberikan penerangan tentang operasi ABMB serta keadaan keselamatan maritim semasa dan projek pembangunan SWASLA di pangkalan maritim itu.

MKN
Kredit FB KP MKN

 

Dalam keputusan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008, ia memutuskan bahawa Batu Puteh milik Singapura manakala Batuan Tengah menjadi milik Malaysia.

Semalam, portal pertahanan dan penerbangan, Alert 5, mendakwa tentera udara Singapura telah mengerahkan (scrambled) dua buah pesawat pejuang F-16 yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9 dan AIM-120 selepas sebuah helikopter PDRM dikatakan telah terbang di ruang udara Pulau Tekong, republik itu pagi semalam.

Menurut portal pertahanan itu, insiden terbabit berlaku pada 9 pagi dengan data daripada aplikasi penjejakan pesawat menunjukkan helikopter milik PDRM itu memasuki ruang udara Singapura pada jam 01:22 UTC.

Ia juga berkata, kedua-dua pesawat pejuang F-16 Singapura itu berlepas daripada Pangkalan Udara Tengah.

“Kedua-dua pesawat pejuang itu dilihat mengelilingi Pangkalan Udara Paya Lebar pada ketinggian kira-kira 5,000 kaki. Mereka berlepas daripada ruang udara Pangkalan Udara Paya Lebar menuju ke arah barat sekitar jam 02:07 UTC. Kedua-dua pesawat dikerah daripada Pangkalan Udara Tengah.”,

MKN
Kredit FB KP MKN

 

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, Kementerian Pertahanan Singapura mengesahkan bahawa ia telah mengerahkan pesawat F-16 miliknya untuk menangani insiden “potensi ancaman udara,”selepas sebuah helikopter PDRM dikatakan memasuki ruang udara republik itu di Pulau Tekong.

Pulau Tekong itu merupakan lokasi latihan asas bagi anggota kerahan tenaga Tentera Singapura.

Hanya selepas ia memastikan bahawa keselamatan Singapura tidak dikompromi, pesawat pejuang itu “stood down” (tidak lagi dikerah untuk tangani ancaman), menurut jurucakap kementerian terbabit sebagai reaksi terhadap pertanyaan daripada Channel News Asia.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat penerbangan helikopter miliknya berhampiran ruang udara Singapura semalam bagi tujuan penugasan rasmi.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihak berkuasa udara Singapura tidak memaklumkan PDRM tentang sebarang insiden penerbangan helikopter tersebut telah memasuki ruang udara republik berkenaan.

Alert 5
Kerdit Alert 5

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...