China Bakal Bina Kemudahan Tentera Di Kemboja?

Amerika Syarikat telah bertindak menyenaraihitam sebuah syarikat China yang sedang membangunkan satu projek yang kontroversi di Kemboja membabitkan pembinaan pelabuhan, lapangan terbang dan kompleks peranginan yang besar bernilai US$3.8 billion.

Syarikat China yang disenarai hitam oleh Washington itu adalah Union Development Group Co Ltd yang sedang membangunkan projek Dara Sakor, berhampiran kawasan pesisiran pantai negara Asia Tenggara itu.

Projek pembinaan kompleks Dara Sakor di Kemboja melibatkan pembinaan lapangan terbang, pelabuhan dan kompleks peranginan. (gambar internet)

Menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, syarikat China itu merupakan entiti milik kerajaan.

Projek infrastruktur multi-billion dollar Amerika itu digambarkan sebagai projek pembinaan terbesar dalam Inisiatif Belt and Road anjuran Beijing.

Menurut Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo, terdapat banyak laporan kredibel mengatakan kompleks Dara Sakor itu “akan digunakan untuk menempatkan aset-aset tentera China.”

“Jika ini benar, ia bertentangan dengan Perlembagaan Kemboja dan boleh mengancam kestabilan di kawasan Indo-Pasifik dan mengancam kedaulatan Kemboja serta keselamatan sekutu-sekutu Amerika Syarikat,” kata Pompeo.

Kerajaan Kemboja serta kedutaan China di negara Asia Tenggara itu telah menafikan segala dakwaan yang diperkatakan oleh Mike Pompeo itu.

Amerika Syarikat merujuk kepada pembinaan landasan kapal terbang di Dara Sakor sepanjang lebih 3,000 meter yang boleh menerima kapal-kapal terbang tentera yang besar termasuk pesawat pengebom.

Landasan kapal terbang di Dara Sakor itu adalah lebih panjang daripada landasan kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnon Penh.

Sekiranya benar lapangan terbang itu akan digunakan oleh pesawat tentera China, ia akan memudahkan tugas Beijing dalam memantau Laut China Selatan dan Laut Andaman serta Selat Melaka.

Terdapat juga laporan kerajaan Kemboja pimpinan Perdana Menteri Hun Sen telah menyewakan kemudahan tentera laut Kemboja berhampiran Dara Sakor untuk dijadikan tempat persinggahan kepada kapal-kapal tentera laut China.

Jika ini benar maka persaingan Amerika dan China bagi menguasai Laut China Selatan akan menjadi lebih sengit.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

AmerikaChinaDara SakorHun SenIndo PasifikKembojaXi Jinping
Comments (0)
Add Comment