(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada akhir tahun 2021, Tentera Udara Vietnam telah mula menerima enam buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) Yakovlev Yak-130 “Mitten” daripada 12 buah dipesannya daripada syarikat pembuat pesawat Russia, Yakovlev yang merupakan anak syarikat kepada Irkut Aviation Plant.
Walaupun pesawat latihan lanjutan Yak-130 “Mitten” ini adalah pesawat yang dibina oleh syarikat Russia tetapi ia memiliki DNA pesawat latihan buatan Barat kerana pada mulanya ia telah dibangunkan secara bersama di antara Yakovlev dengan syarikat pembuat pesawat terkenal Itali, Aermacchi.
Bagaimanapun “jodoh” antara syarikat Yakovlev dan Aermacchi untuk membina pesawat latihan lanjutan/pejuang ringan itu tidak berpanjangan.
Apabila kerjasama antara Yakovlev dan Aermacchi itu dihentikan, syarikat Russia itu meneruskan pembangunan pesawat FLIT/LCA miliknya sendiri dan menamakannya Yak-130 “Mitten”.
Bagi Aermacchi pula, syarikat aeroangkasa Itali yang dimiliki oleh Leonardo itu turut meneruskan program pembinaan pesawat FLIT/LCA mereka sendiri dan menamakannya M-346.
Ia menjadikan pesawat Yak-130 “Mitten” dan M-346 sebagai tidak ubah seperti “adik-beradik”, malah jika diperhatikan daripada segi rekabentuk kedua-dua pesawat itu juga adalah hampir sama.
Tentera Udara Russia menggunakan pesawat Yak-130 yang dilengkapi dengan sistem dan kemudahan sama seperti pesawat generasi ke-4 untuk melatih juruterbangnya mengendalikan pesawat-pesawat seperti Sukhoi Su-35 dan Su-57 “Felon”.
Tentera udara negara itu dipercayai memiliki sehingga 55 buah pesawat Yak-130 pada ketika ini.
Selain Tentera Udara Vietnam, beberapa negara di Asia Tenggara yang turut menggunakan pesawat Yak-130 “Mitten” sebagai pesawat FLIT/LCA adalah Myanmar dan Laos.
Vietnam menandatangani perjanjian dengan Russia bernilai US$350 juta (RM1.4 bilion) pada 2019 untuk memperolehi sebanyak 12 buah pesawat Yak-130 sebagai pesawat FLIT/LCA bagi menggantikan pesawat Aero L-30 buatan Republik Czech.
Selain bertindak sebagai pesawat pejuang ringan Tentera Udara Vietnam, pesawat Yak-130 itu juga akan menyediakan juruterbang-juruterbang negara itu untuk menerbangkan pesawat pejuang yang lebih canggih iaitu Sukhoi Su-30Mk2 milik negara itu.
Tentera Udara Vietnam dipercayai memiliki sehingga 36 pesawat pejuang Sukhoi Su-30Mk2.
Satu perkara yang menarik juga tentang pesawat Yak-130 ini adalah ia menggunakan konsep “open architecture avionics suite” yang membolehkan pesawat itu diintegrasikan dengan pelbagai peluru berpandu sama ada buatan Russia atau negara-negara Barat seperti AIM-9L Sidewinder, Magic 2 dan AGM-65 Maverick.
Combat payload pesawat ini adalah kira-kira 3,000kg menerusi enam underwings.
Antara senjata-senjata yang boleh dibawa pesawat Yak-130 Mitten termasuklah peluru berpandu panduan laser “Vikhr”, R-73 (AA-11), peluru berpandu udara-ke-darat KH-25 ML serta bom-bom KAB-500.
Pesawat Yak-130 dilengkapi dengan radar “Osa” yang dibangunkan oleh NIIP Zhukovsky, dengan kemampuan untuk menjejaki lapan sasaran udara secara serentak.
Detection range radar ini 40km di arah belakang manakala 85km di arah depan. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com