(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat dua tahun berturut-turut, kapal ultra deepwater drillship “West Capella” yang dimiliki oleh firma, Seadrill berpengkalan di London tetapi dikontrakkan kepada PETRONAS telah menjadi “objek buruan” kapal-kapal China.
Hari ini, nama “West Capella” kembali menjadi perhatian selepas laporan mengatakan kapal penyelidik China, “Da Yang Hao” sambil diiringi dua buah kapal pengawal pantai negara itu sedang menuju ke kawasan operasi ultra deepwater drillship itu yang terletak di dalam kawasan pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
Laporan terakhir mengatakan kapal penyelidik China itu semakin menghampiri kedudukan West Capella pada jarak hanya 12 batu nautika.
Kehadiran kapal penyelidik “Da Yang Hao” dan kapal pengawal pantai China di perairan Malaysia pada 24 Sept bertepatan dengan latihan PASSEX B-52 antara pesawat-pesawat TUDM dengan sebuah pesawat pengebom B-52 “Stratofortress” Amerika Syarikat di Selat Melaka.
Adakah ia coincidence?
Tahun lepas, selama beberapa bulan kapal “West Capella” yang sedang menjalankan kerja-kerja di Blok ND4 dan ND2 di Lapangan Gas dan Minyak “Lala” yang terletak di luar perairan Sabah telah “diburu” oleh kapal-kapal pengawal pantai China.
Episod provokasi kapal-kapal China terhadap operasi “West Capella”, sebenarnya dikesan bermula pada Disember 2020 ketika kapal itu sedang beroperasi di blok minyak gas itu tetapi kejadian itu “disenyapkan” untuk mengelak ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Benda-benda macam ini sukar untuk “disenyapkan” di era satelit ini di mana pergerakan kapal-kapal boleh dipantau setiap masa.
Insiden provokasi China terhadap operasi “West Capella” oleh PETRONAS di kawasan pelantar benua dan ZEE Malaysia hanya terbongkar apabila geng-geng OSINT dan media antarabangsa mula mengesan “kehadiran” banyak kapal-kapal perang di kawasan operasi kapal sewaan syarikat minyak dan gas negara itu.
Jikalau kali ini China menghantar kapal penyelidik “Da Yang Hao” ke kawasan operasi “West Capella”, pada tahun lepas Beijing telah menghantar kapal penyelidik “Hai Yang Di Zhi Bao Hao”.
Modus operandi lebih kurang sama, cuma “pelakon-pelakon” sahaja yang berlainan.
Selama beberapa bulan ia menerima tekanan dan provokasi daripada kapal-kapal China itu, “West Capella” telah dikunjungi oleh kapal-kapal perang dan pesawat terutamanya daripada Amerika Syarikat.
TLDM turut dikatakan menghantar aset-asetnya ke kawasan operasi West Capella tahun lepas itu.
Kehadiran kapal-kapal perang terutamanya daripada Amerika Syarikat itu lebih kepada usaha untuk “counter-balance” kehadiran kapal-kapal China itu.
Antara kapal-kapal perang yang hadir di kawasan operasi “West Capella” tahun lepas itu adalah Littoral Combat Ship (LCS) USS Gabrielle Giffords (LCS-10), USS Montgomery (LCS-8) dan USNS Cesar Chavez (oiler replenishment).
Kehadiran kapal-kapal perang Amerika Syarikat itu ada kalanya diperhati (shadow) oleh kapal friget China, Type 054A (kelas Jiangkai).
Terdapat juga laporan mengatakan bahawa ketika USS Montgomery dan USNS Cesar Chavez berkunjung ke kawasan operasi “West Capella” telah ditemani oleh pesawat pengebom strategik Tentera Udara Uncle Sam iaitu B1-B Lancer yang didakwa melakukan misi di ruang udara berhampiran.
Mengikut rekod admin, sepanjang beberapa bulan “West Capella” diganggu oleh kapal penyelidik dan pengawal pantai China tahun lepas itu, lapangan minyak dan gas Malaysia itu turut dikunjungi oleh kapal-kapal USS America, USS Bunker Hill, USS Barry dan kapal friget Australia, HMAS Paramatta
USS America (LHA-6) adalah amphibious assault ship manakala USS Bunker Hill (CG-52) adalah kapal guided missile cruiser dan USS Barry (DDG-52) yang merupakan sebuah kapal guided missile destroyer kelas-Arleigh Burke.
So adakah episod “gangguan dan provokasi” West Capella Pusingan Kedua akan berulang dengan kunjungan kapal penyelidik China, “Da Yang Hao” hari ini? Sama-samalah kita nantikan.
Cuma kali ini keadaan berpotensi untuk menjadi lebih hangat kerana seperti diketahui ada tiga kapal pengangkut pesawat berada tidak jauh antara satu sama lain di kawasan Indo-Pasifik pada ketika ini — USS Ronald Reagan (dikatakan sedang beroperasi berhampiran Scarborough Shoal), USS Carl Vinson (dikatakan beroperasi di perairan Okinawa) dan HMS Queen Elizabeth (baru sahaja meninggalkan Guam menuju ke Western Pacific.
Apa yang pasti adalah apa-apa sahaja kegiatan cari gali minyak dan gas di Laut China Selatan pada ketika ini akan menerima “gangguan” dan “provokasi” daripada kapal-kapal China, sama-sama berbentuk kapal penyelidik atau pengawal pantai.
Kapal-kapal penyelidik dan pengawal pantai China dan masih berada Laut Natuna untuk menganggu operasi cari gali minyak dan gas Indonesia di Blok Tuna di Laut Natuna dan sebelum ini turut melakukan perkara yang sama terhadap operasi cari gali minyak Vietnam.
Kini giliran Malaysia pula, dengan West Capella menjadi mangsa kepada kerakusan China untuk dua tahun berturut-turut.
China akan hanya menghentikan gangguan dan provokasi itu jika negara-negara terbabit bersetuju untuk berkongsi hasil minyak dan gas dengannya menerusi PSC (Production Sharing Contracts) dengan syarikat-syarikat minyak dan gas negara itu, seperti CNOOC dan lain-lain.