(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di dalam tempoh beberapa hari ini, kapal pengangkut pesawat British “HMS Queen Elizabeth” dijangka akan belayar di Selat Melaka menuju ke destinasi persinggahan seterusnya iaitu Singapura sebelum meneruskan pelayaran ke Laut China Selatan.
Hari ini, kapal replenishment oiler RFA Tidespring (A136) yang merupakan sebahagian daripada United Kingdom Carrier Strike Group 21 (CSG21) itu dikesan belayar di Selat Melaka, mungkin menuju ke Singapura.
Kehadiran kapal bantuan, RFA Tidespring di Selat Melaka itu hari ini menandakan kapal pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal pengiring yang lain bakal melakukan pelayaran mereka di selat strategik itu tidak lama lagi.
Selat Melaka yang sedia sibuk itu semakin sibuklah dengan kehadiran rombongan HMS Queen Elizabeth.
Jika ada sahabat yang berpeluang mengambil gambar HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal pengiringnya sedang belayar di Selat Melaka, bolehlah berkongsi dengan pembaca Defence Security Asia.
Pada ketika ini HMS Queen Elizabeth yang memiliki berat sebanyak 65,000 tan dan kapal-kapal pengiringnya berada di Bay of Bengal untuk menjalani latihan bersama dengan kapal-kapal perang daripada Tentera Laut India.
Latihan Konkan antara kapal-kapal CSG21 dengan Tentera Laut India itu bermula pada Rabu dan akan berakhir pada Jumaat ini bermotif untuk memupuk jalinan kerjasama antara dua tentera laut serta interoperability.
CSG21 yang diketuai oleh HMS Queen Elizabeth itu diiringi oleh 10 buah kapal lain termasuk daripada Tentera Laut Amerika Syarikat dan Tentera Laut Belanda, dua buah kapal selam kelas-Astute.
Kapal pengangkut pesawat terbesar British itu juga membawa kira-kira 20 buah pesawat pejuang F-35B Lightning milik pasukan Marines Amerika Syarikat serta kira-kira 4,000 anggota tentera.
Sementara itu laporan juga mengatakan bahawa Amerika Syarikat telah menempatkan tiga buah kapal destroyer di Laut China Selatan pada ketika ini, ketika HMS Queen Elizabeth sedang menuju ke perairan yang didakwa China sebagai miliknya.
Ketiga-tiga buah kapal destroyer Amerika Syarikat itu adalah USS Kidd (DDG-100), USS Benfold (DDG-65) dan USS Pinckney (DDG-91).
Makin sibuklah di Laut China Selatan kelak…