[VIDEO] Amerika Hantar 25 Buah Pesawat F-22 Raptor Ke Pasifik, “Mesej” Pada China

Menurut para penganalisis, penghantaran pesawat pejuang paling modennya iaitu F-22 Raptor ke Pasifik adalah satu mesej kepada China.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika hubungan antara China dan Amerika Syarikat semakin tegang berpunca daripada beberapa pertikaian, Washington telah menghantar 25 buah pesawat pejuang paling modennya ke kawasan Pasifik untuk terlibat dalam latihan yang disifatkan sebagai “persediaan sekiranya peperangan tercetus dengan China,”

Menurut para penganalisis, penghantaran pesawat pejuang paling modennya iaitu F-22 Raptor ke Pasifik adalah satu mesej kepada China.

Pacific Air Forces, Tentera Udara Amerika Syarikat dalam satu kenyataan minggu ini berkata kesemua pesawat F-22 itu daripada Hawaii National Guard dan Joint Base Elmendorf-Alaska akan ditempatkan di Guam dan Kepulauan Tinian di Northern Mariana untuk Latihan Pacific Iron 2021.

“Kita tidak pernah memiliki begitu banyak pesawat F-22 Raptor di kawasan operasi Pacific Air Forces sebelum ini,” kata panglimanya Jeneral Ken Wilsbach kepada stesen televisyen CNN.

Menurut seorang penganalisis Carl Schuster, menempatkan sebegitu banyak pesawat termoden tentera udara Amerika Syarikat iaitu F-22 Raptor di Pasifik adalah mesej jelas kepada China pada ketika hubungan kedua-dua tidak berjalan dengan baik berikutan isu-isu seperti Laut China Selatan dan Taiwan.

 

Kebiasaannya, kerahan normal bagi pesawat F-22 adalah di antara lima hingga 12 buah pesawat.

“Pacific Air Forces, Tentera Udara Amerika Syarikat mahu menunjukkan bahawa ia berkemampuan untuk mengerah seberapa banyak pesawat pejuang generasi ke-limanya ke medan di dalam jangka masa paling pendek,” kata beliau.

Pada ketika ini, Tentera Udara Amerika Syarikat memiliki kira-kira 180 buah pesawat gen-5 F-22 Raptor berbanding di antara 20 hingga 30 buah pesawat termoden China iaitu J-20.

Bagaimanapun katanya, peningkatan kemampuan udara China sedang berkembang dengan amat pesat

Memandangkan pesawat F-22 ini sukar dikesan oleh radar, maka ia berkemungkinan besar akan berada di barisan hadapan dalam apa-apa serangan terhadap kedudukan dan kemudahan aset-aset musuh.

“Amerika Syarikat secara aktif mula berlatih mengerahkan pesawat-pesawatnya untuk bersedia jika peperangan berlaku. Amerika Syarikat mengambil ancaman oleh China secara serius dan melatih pasukannya untuk bergerak ke posisi dengan cepat,” kata penganalisis dengan Griffith Asia Institute Peter Layton.

Selain 25 buah pesawat F-22, Amerika Syarikat juga mengerahkan 10 buah pesawat F-15 Strike Eagle dan C-130J untuk terlibat sama dalam latihan Pacific Iron 2021.

Tujuan latihan Pacific Iron 2021  adalah untuk membiasakan pesawat-pesawat Amerika Syarikat beroperasi daripada landasan-landasan terpencil di kawasan Pasific.

Ini adalah kerana di dalam scenario peperangan sebenar, terdapat kemungkinan pangkalan-pangkalan udara Amerika yang besar sama ada di Jepun dan Korea Selatan akan berhadapan dengan serangan-serangan peluru berpandu jarak jauh China.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Amerika SyarikatChinaF-22 RaptorGuamTinian
Comments (0)
Add Comment