Twit Senator Amerika Syarikat Tentang “30 Ribu Tentera” Bangkitkan Kemarahan Beijing

Dalam satu ciapan di akaun Twitter-nya, Senator John Cornyn yang juga merupakan ahli jawatankuasa perisikan Senat Amerika Syarikat mengatakan negara itu menempatkan 30,000 tenteranya di Taiwan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan seorang senator Amerika Syarikat “mendedahkan” bahawa terdapat kira-kira 30,000 anggota tentera negara itu berada di Taiwan telah membangkitkan kemarahan daripada Beijing, sekaligus meningkatkan ketegangan di antara kedua-dua negara itu.

Dalam satu ciapan di akaun Twitter-nya, Senator John Cornyn yang juga merupakan ahli jawatankuasa perisikan Senat Amerika Syarikat mengatakan negara itu menempatkan 30,000 tenteranya di Taiwan.

Beliau bagaimanapun memadamkan ciapan dalam Twitter-nya itu dan tidak memberikan apa-apa reaksi.

Walaupun telah memadamkan ciapannya itu, ia tidak cukup untuk memadamkan kemarahan China atas “pendedahan” itu yang jika terbukti benar adalah suatu pengisytiharan perang terhadap Beijing kerana Taiwan adalah “sebahagian daripadanya.”

Dalam ciapannya itu, Cornyn turut berkata terdapat 28,000 anggota tentera Amerika di Korea Selatan, 35,000 di Jerman, 50,000 di Jepun, 7,000 di Afrika dan 2,500 di Afghanistan.

Senator John Cornyn

 

Banyak pihak menafikan dakwaan oleh senator itu, mengatakan adalah mustahil untuk menyembunyikan 30,000 anggota tenteranya di Taiwan.

Beijing mengatakan jika dakwaan senator Amerika Syarikat itu terbukti benar, ia sudah cukup untuk China mengaktifkan Undang-Undang Anti-Pemisahan (Anti-Secession Law) yang memberikannya kebenaran untuk memusnahkan tentera Amerika dan menyatukan Taiwan secara ketenteraan.

Kehadiran 30,000 atau 1,000 anggota tentera Amerika di Taiwan adalah “garisan merah” yang tidak boleh sesekali dilintasi oleh Washington.

Pemerhati berkata, jika dakwaan oleh senator Amerika itu benar ia adalah suatu pengakuan terbukan beliau bahawa tentera negara itu sedang menjajah Taiwan dan suatu pengisytiharan peperangan terhadap China.

Menurut akhbar nasionalis milik kerajaan China, Global Times berkata, jika terdapat 30,000 anggota tentera Amerika di Taiwan, maka China akan “menghancurkannya”.

Tentera Taiwan selepas selesai menjalani latihan.

 

Kehadiran tentera Amerika di Taiwan sekiranya benar sebagaimana dinyatakan oleh Cornyn dalam ciapan Twitter-nya jelas melanggar perjanjian antara kedua negara apabila Beijing dan Washington mula-mula menjalin hubungan diplomatik pada 1979.

Beijing membantah keras sebarang kehadiran anggota tentera Amerika di Taiwan atau penglibatan mereka di dalam hal ehwal di pulau itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaJohn CornynTaiwan
Comments (0)
Add Comment