Turkiye-Qatar Wujud Skuadron Pesawat Pejuang Bersama

Skuadron bersama Turkiye-Qatar yang dipercayai diwujudkan di Pangkalan Udara Dukhan di Qatar, kira-kira lima tahun selepas Ankara merasmikan pangkalan tenteranya di Qatar pada 2019, menandakan hubungan ketenteraan yang semakin erat di antara kedua-dua negara itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye dan Qatar dilaporkan telah mewujudkan skuadron bersama yang pertama membabitkan pesawat-pesawat pejuang tentera udara kedua-dua negara itu, menurut kenyataan daripada Kementerian Pertahanan Qatar.

Skuadron bersama Turkiye-Qatar yang dipercayai diwujudkan di Pangkalan Udara Dukhan di Qatar, kira-kira lima tahun selepas Ankara merasmikan pangkalan tenteranya di Qatar pada 2019.

Penubuhan skuadron pesawat pejuang bersama Turkiye-Qatar di negara Arab Teluk itu menandakan hubungan ketenteraan yang semakin erat di antara kedua-dua negara itu.

Komander Tentera Udara Turkiye Jeneral Ziya Cemal Kadioglu dilaporkan telah melakukan lawatan ke Skuadron Bersama Turkiye-Qatar itu di Pangkalan Udara Dukhan baru-baru ini untuk melihat lebih dekat “kerja-kerja dan latihan” dan “persiapan dan kemudahan”, menurut posting di dalam platform X (dahulu dikenali Twitter).

Kenyataan itu menandakan kenyataan rasmi pertama tentang kewujudkan skuadron bersama Turkiye-Qatar di antara kedua-dua negara.

Ia bagaimanapun tidak menjelaskan jenis-jenis pesawat pejuang yang digunakan oleh skuadron bersama itu serta misinya, mahupun bilangan pesawat-pesawat pejuang daripada tentera udara kedua-dua negara.

Bagaimanapun gambar-gambar menunjukkan kehadiran pesawat-pesawat pejuang F-16 Turkiye dan pesawat pejuang Rafale dan juga Eurofighter Typhoon milik Tentera Udara Qatar.

Sebelum ini, Tentera Udara Qatar dan Royal Air Force (RAF) United Kingdom juga mempunyai skuadron bersama, yang pada mulanya berpangkalan di United Kingdom untuk melatih juruterbang dan krew Eurofighter Typhoon Qatar.

Skuadron bersama Qatar dan United Kingdom itu kemudiannya berpindah ke Qatar pada 2022 untuk menjaga ruang udara negara itu ketika Doha menganjurkan kejohanan bolasepak Piala Dunia, sebelum berpindah sekali ke pangkalan udara RAF di Coningsby pada awal 2023.

Tentera Udara Qatar dan Tentera Udara Turkiye mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang yang berlainan.

Pesawat pejuang Rafale Tentera Udara Qatar

 

Selain Turkiye menempatkan pesawat-pesawat pejuangnya di Qatar, pada 2021 kedua-dua negara itu juga menandatangani perjanjian yang membenarkan Qatar untuk menempatkan sejumlah pesawat dan anggota tentera Tentera Udara Qatar di negara Mediterranean terbabit.

Perjanjian ketenteraan antara kedua-dua negara itu telah ditandatangani antara Ketua Staf Angkatan Tentera Turkiye pada ketika itu Jeneral  Yasar Guler dan Ketua Staf Angkatan Tentera Qatar Al-Ghanim.

Menerusi perjanjian di antara dua negara sahabat itu, Qatar boleh menghantar sehingga 250 orang anggota tentera udaranya dan 36 buah pesawat pelbagai jenis ke lokasi yang ditentukan oleh Angkatan Tentera Turkiye.

Pesawat-pesawat tentera Qatar itu akan dibenarkan terbang di ruang udara Turki dan dibenarkan mendapat akses kepada lapangan-lapangan terbang di negara Mediterranean itu, selain mendapat nombor identifikasi penerbangan yang berlainan bagi membezakan ia dengan pesawat-pesawat tempatan.

Media-media tempatan Turkiye menyatakan bahawa negara Qatar akan menempatkan pesawat pengangkut C-130J dan C-17 selain 12 buah pesawat pejuang Rafale dan 10 buah pesawat Mirage 2000 di Turkiye.

Pesawat pejuang F-16 Turkiye

 

Penempatan pesawat-pesawat Tentera Udara Qatar di Turki terutamanya membabitkan pesawat pejuang Rafale tidak disenangi oleh negara jiran Turkiye iaitu Greek yang bimbang Tentera Udara Turkiye akan menggunakan penempatan pesawat pejuang buatan syarikat Dassault Aviation di negara Mediterranean itu untuk mengetahui tentang “titik kelemahan dan kekuatan” pesawat itu dan mengeksploitasinya.

Ia akan membolehkan pesawat-pesawat F-16 Turkiye lebih bersedia untuk berhadapan dengan pesawat-pesawat Rafale yang baru sahaja diperolehi oleh Tentera udara Greek terutamanya apabila pesawat kedua-dua negara itu “bertembung” di Laut Mediterranean dan Laut Aegean.

Greek membeli 24 buah pesawat pejuang Rafale selepas menandatangani kontrak bernilai US$3.4 bilion dengan Paris,  dengan 12 daripada pesawat itu adalah pesawat  terpakai Tentera Udara Perancis manakala selebihnya pesawat-pesawat baru. — DSA

featuredQatarSkuadronTurkiye