Turkiye Mula Produksi Besar-Besaran Kereta Kebal Utama “Altay”

Untuk fasa pertama, syarikat BMC Defense akan menghasilkan 250 buah kereta kebal utama “Altay” di kemudahan syarikat terbabit di Ankara yang akan menghasilkan lapan buah kereta kebal utama itu dalam sebulan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye telah memulakan produksi besar-besaran kereta kebal “Altay” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan tempatan, BMC Defence selepas beberapa tahun berada di dalam fasa pembangunan.

Ketua Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) Haluk Gorgun berkata, kereta kebal “Altay” itu telah dinaiktaraf untuk memenuhi keperluan peperangan moden pada masa ini .

“Kita telah memulakan produksi besar-besaran kereta kebal utama Altay. Terdapat beberapa negara yang mahu bekerjasama dengan kita diperingkat antarabangsa dan kita sedang berunding dengan mereka, “ menurut Gorgun.

Menurut beliau,banyak daripada subsistem kereta kebal Altay telah dilokalisasi, teknologi dan inovasi telah dipertingkatkan bagi tujuan peningkatan kemampuan kombatnya.

 Angkatan Tentera Turkiye telah pun menerima dua buah prototaip kereta kebal “Altay” daripada BMC Defense untuk tujuan ujian sebelum produksi secara besar-besaran kereta kebal keluaran tempatan itu.

Kereta kebal “Altay”

 

BMC Defense adalah syarikat 100 milik Turkiye dan memiliki Hak Harta Intelek (Intelectual Property Rights) terhadap kereta kebal Altay dan enjinnya buatan tempatannya yang bakal dihasilkan di kilang milik Presidency of Defense Industries (SSB).

Untuk fasa pertama, syarikat BMC Defense akan menghasilkan 250 buah kereta kebal utama “Altay” di kemudahan syarikat terbabit di Ankara yang akan menghasilkan lapan buah kereta kebal utama itu dalam sebulan, menurut pengurus besar syarikat itu, Mehmet Karaaslan.

Secara keseluruhannya, syarikat BMC akan menghasilkan 1,000 kereta kebal “Altay” untuk Tentera Darat Turki.

Kereta kebal utama “Altay” mempunyai berat 65 tan dan dilengkapi dengan meriam 120mm serta berkeupayaan membawa kira-kira 40 butir peluru di dalam badan kereta kebal itu.

Kereta kebal yang dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan Turkiye, “Altay” akan dilengkapkan dengan sistem armor komposit dan reaktif rekaan syarikat pertahanan tempatan, ROKETSAN.

Dalam projek membangunkan sistem armor generasi baru untuk keperluan kereta kebal utama Turkiye, “Altay”, syarikat ROKETSAN menitikberatkan ciri-ciri seperti keberkesanannya serta sistem armor yang ringan menggunakan bahan-bahan termaju.

Sistem armor untuk kereta kebal “Altay” itu adalah suatu sistem yang hybrid yang dibangunkan oleh sekumpulan jurutera ROKETSAN bagi menangani ancaman pada masa kini.

Menggunakan bahan-bahan yang berteknologi tinggi dalam penghasilan sistem armor terkini untuk kereta kebal utama itu, perlindungan yang diberikannya kepada krew kenderaan itu adalah amat tinggi walaupun tahap berat sistem armor itu pada kadar yang minimum.

Jika dibandingkan dengan pesaing-pesaingnya di pasaran, sistem armor yang dibangunkan oleh ROKETSAN adalah jauh lebih baik dalam memberikan perlindungan kepada kompartmen diduduki krew dan sub-sistem kenderaan daripada bedilan berulang kali.

Ia juga memberikan perlindungan maksimum daripada tembakan roket anti-armor APFSDS, perlindungan daripada “tandem warheads”, kerosakan kolateral yang rendah selain rekabentuk yang fleksible bagi memudahkan ia dipasang untuk platform-platform lain.

Bermula pada separuh masa kedua 2026 pula, kereta kebal Altay itu akan mula dilengkapkan dengan enjin dan sistem transmisi yang dibekalkan oleh syarikat Korea Selatan.

Syarikat BMC Defense terpaksa mendapatkan “bantuan” daripada syarikat Korea Selatan untuk membekalkan enjin dan sistem transmisi untuk kereta kebal Altay itu selepas Jerman mengenakan sekatan senjata terhadap Turkiye.

Sebelum ini, syarikat MTU dan Renk darpada Jerman dipilih untuk membekalkan enjin dan sistem transmisi untuk kegunaan kereta kebal Altay itu.

Bagaimanapun, tindakan Jerman mengenakan sekatan ekonomi terhadap Turkiye hampir-hampir menyebabkan program pembangunan kereta kebal Altay itu tergendala.

Namun, dengan kemasukan syarikat Korea Selatan dalam membekalkan enjin dan sistem transmisi pada kereta kebal Altay itu telah  berjaya merancakkan kembali program pembangunan kereta kebal itu.

Turkiye juga dilaporkan sedang membangunkan enjin buatan tempatan dinamakan “BATU” yang bakal digunakan untuk kereta kebal Altay dan kenderaan berperisai yang lain.

 syarikat Korea Selatan SNT Heavy Industries telah menandatangani perjanjian untuk membekalkan sistem transmisi enjin berkuasa 1,500 kuasa kuda kepada syarikat BMC Defense untuk digunakan pada kereta kebal Altay.

Kontrak bekalan sistem transmisi automatik itu bernilai US$217 juta (RM868 juta) adalah untuk tempoh sehingga tahun 2030. — DSA

 

AltayBMCfeaturedTurkiye
Comments (0)
Add Comment