MoU Kerjasama Pertahanan Malaysia-Turkiye Bakal Ditandatangani Disember Ini?

Untuk pemerhati ketenteraan tempatan termasuk Defence Security Asia, persoalan yang bermain di fikiran adalah, adakah Memorandum Persefahaman Kerjasama Pertahanan Malaysia-Turkiye akan dimeterai ketika lawatan negara Presiden Turkiye ke Malaysia Disember nanti?

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua hari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di New York menyatakan bahawa Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan akan melakukan kunjungan ke Malaysia pada bulan Disember ini.

Untuk pemerhati ketenteraan tempatan termasuk Defence Security Asia, persoalan yang bermain di fikiran adalah, adakah Memorandum Persefahaman Kerjasama Pertahanan Malaysia-Turkiye akan dimeterai ketika lawatan negara Presiden Turkiye ke Malaysia Disember nanti?

Jawapannya adalah, ya, kemungkinan besar MoU kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara itu akan ditandatangani ketika lawatan negara Erdogan ke Malaysia hujung tahun itu, jikalau tiada aral melintang.

Defence Security Asia diberitahu oleh pemain industri pertahanan tempatan bahawa usaha sememangnya sedang dilakukan untuk menyediakan rangka MoU Kerjasama Pertahanan Malaysia-Turkiye itu pada ketika ini.

Cuma “kemajuannya” agak perlahan sebelum ini berikutan dakwaan ada pihak-pihak tidak dikenali bermain “tarik tali” sehingga melengahkan persetujuan tentang beberapa perkara penting dalam MoU pertahanan itu.

Pertemuan di antara Perdana Menteri dan Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan di New York baru-baru ini. (credit BERNAMA)

 

Dengan pengesahan bahawa Erdogan akan ke Malaysia Disember ini, maka diharapkan ia akan jadi pemangkin untuk kedua-dua pihak menyiapkan butiran MoU itu dengan lebih cepat bagi membolehkan pemimpin Malaysia-Turkiye menandatangani MoU itu hujung tahun ini.

Dengan termeterainya MoU kerjasama pertahanan itu kelak, kita akan mengetahui dengan lebih terperinci tentang  aset-aset ketenteraan buatan Turkiye yang bakal diperolehi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah MoU terbabit.

MoU di antara kedua-dua negara juga berkemungkinan memeterai kerjasama di dalam industri dan teknologi pertahanan yang akan meningkatkan lagi kemampuan syarikat-syarikat pertahanan serta teknologi tempatan bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat antarabangsa.   

Ketika bertemu dengan media di New York, Perdana Menteri mengulas dengan ringkas tentang aset-aset ketenteraan buatan Turkiye yang sedang dilihat oleh Malaysia.

“Kita mungkin lihat dron dan helikopter…lihat pengkhususan dan kepakaran Turkiye. Namun saya serahkan pada pihak tentera (Malaysia), mana yang terbaik,” kata Anwar selepas pertemuan dua hala dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Turkish House di New York baru-baru ini.

Kapal korvet C92 oleh Dearsan Shipyard

 

Katanya terserah kepada Kementerian Pertahanan untuk berunding dengan Kementerian Kewangan dan kerajaan terbabit dalam pembelian peralatan ketenteraan itu.

Memandangkan Kementerian Pertahanan telah pun memeterai kontrak untuk memperolehi sistem pesawat tanpa pemandu “ANKA” yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) pada pameran LIMA 2023 Mei lalu, tidak pasti sama ada Kementerian Pertahanan sedang melihat dron-dron lain yang dibangunkan oleh industri pertahanan Turkiye.

Memandangkan “ANKA” yang diperolehi oleh Kementerian Pertahanan adalah lebih untuk tujuan ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaisance) terutamanya di Laut China Selatan, adakah Kementerian Pertahanan sedang melihat sistem “Loitering Munitions” seperti “Kargu” dan “Alpagu” atau sistem UCAV seperti Bayraktar TB2?

Industri pertahanan Turkiye sememangnya “kuat” di dalam sektor sistem tanpa pemandu dan adalah wajar Malaysia melihat kepada negara Mediterranean itu untuk perolehan aset-aset sistem tanpa pemandunya.

Aset-aset tanpa pemandu telah mula digunakan secara meluas dalam beberapa konflik terkini dan Malaysia perlu mula bergerak ke arah itu dengan memperkuatkan lagi aset-aset ketenteraan tanpa pemandunya.

“ANKA” MALE-UAV oleh TAI.

 

Defence Security Asia juga berkeyakinan bahawa perolehan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 akan menjadi salah satu highlight dalam MoU Kerjasama Pertahanan di antara Malaysia dan Turkiye yang bakal dimeterai Disember ini.

Apatah lagi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan telah pun menyatakan di dalam Dewan Rakyat bahawa perolehan kapal-kapal LMS Batch 2 itu akan dilakukan secara Government-to-Government (G-to-G).

Hampir pasti Turkiye akan menjadi pilihan, cuma yang menjadi persoalan adalah sama ada rekabentuk kapal korvet kelas-Ada oleh STM menjadi pilihan atau TLDM mempunyai pilihan rekabentuk yang lain daripada syarikat-syarikat pembuat kapal Turkiye yang lain.

Jika kerajaan memilih rekabentuk kapal LMS daripada Turkiye, bagaimana pula dengan sistem persenjataannya terutama peluru berpandu anti-kapalnya. Adakah kita akan menjadi negara eksport pertama bagi peluru berpandu anti-kapal “ATMACA”.

Perolehan kapal-kapal LMS Batch 2 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi semakin penting berikutan pelbagai masalah yang menimpa program pembinaan lima buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang kini bernilai RM11 bilion secara keseluruhannya.

Helikopter utiliti T625 “Gokbey”

 

Mengenai helikopter yang disentuh oleh Perdana Menteri ketika ditanya wartawan di New York,  adakah akan ada perjanjian melibatkan perolehan sebarang helikopter yang dibangunkan oleh industri pertahanan Turkiye seperti helikopter utiliti “Gokbey” atau helikopter penyerang ringan, “ATAK” atau helikopter penyerang berat (heavy attack helicopter) “ATAK-2” yang sedang dibangunkan oleh TAI.

Defence Security Asia juga dimaklumkan bahawa terdapat beberapa syarikat Malaysia sedang mempromosikan sistem lancaran roket berganda (Multiple Lauch Rocket System – MLRS) buatan syarikat Turkiye terutamanya ROKETSAN kepada Tentera Darat.

Adakah syarikat Malaysia yang bertuah pada bulan Disember nanti? — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredMalaysiaMoUpertahananTurkiye