Pesawat Gen-5 Turkiye “KAAN” Lakukan Penerbangan Sulung Bulan Depan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Prof Temel Kotil, semua usaha dan ujian sedang dilaksanakan bagi memastikan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye yang disifatkan sebagai “aset strategik” negara itu melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang generasi kelima buatan Turkiye sendiri yang dinamakan “KAAN” bakal melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Prof Temel Kotil.

Menurut beliau, semua usaha dan ujian sedang dilaksanakan bagi memastikan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye yang disifatkan sebagai “aset strategik” negara itu melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini.

“Kita sedang bekerja dengan keras. Ia akan melakukan penerbangan sulungnya pada bulan kedua di kurun kedua. Kita sedang menuju ke arah itu dan ia (KAAN) akan melakukan penerbangan. Ia perlu melakukan penerbangan bagi membolehkan seluruh dunia melihatnya.”

“Kita semakin hampir, kesemua ujian (terhadap pesawat pejuang Kaan itu sedang dilakukan,” kata beliau sambil menambah bahawa penerbangan sulung pesawat pejuang “KAAN” itu akan mengubah kurun kedua bagi Turkiye.

Turkiye menyambut ulangtahun ke-100 tahun pada 29 Oktober yang lalu dan bulan kedua pada kurun kedua negara itu di mana pesawat pejuang “KAAN” dijangka akan melakukan penerbangan sulungnya sebagaimana dinyatakan oleh Temel Kotil adalah pada Disember ini.

Prof Temel Kotil

 

Beliau berkata terdapat 1,500 jurutera di TAI yang terlibat secara langsung dengan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima,”KAAN”.

Secara keseluruhannya, seramai 6,000 jurutera bertugas dengan gergasi aeroangkasa Turkiye itu.

Temel Kotil berkata projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” adalah projek pembangunan teknologi tinggi terpenting Turkiye dan oleh kerana itu ia semestinya “100 peratus” milik tempatan.

Pada pemulaannya, enjin dan kerusi injal (ejection seat) pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu akan diperolehi daripada negara luar, tetapi ia akan digantikan dengan enjin dan kerusi injal buatan tempatan kelak.

TAI yang merupakan kontraktor utama bagi projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu, dilapor akan menyiapkan sejumlah 20 buah pesawat pejuang “KAAN” Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.

Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang “KAAN” setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.

“KAAN” bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.

Turkiye mempergiatkan usaha membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri, selepas ia dikeluarkan daripada program F-35 akibat “berdegil” meneruskan membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.

Sebagai rakan pembangunan projek F-35, Turkiye telah bersetuju untuk memperolehi 100 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35, bagaimanapun, akibat keputusannya membeli sistem pertahanan udara S-400 Russia itu Ankara dilarang daripada membeli pesawat F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat itu.

“KAAN” sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).

Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller). 

Bagaimanapun ketiga-tiga komponen asing pada pesawat “KAAN” tu akan digantikan dengan komponen buatan Turkiye apabila pembangunan pesawat itu memasuki fasa lebih maju.

Data-data awal menyatakan bahawa pesawat pejuang “KAAN” itu akan mempunyai Maximum Take-Off Weight (MTOW) 27,200kg  dan mampu mencapai kelajuan maksimum Mach 2. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredKAANPernerbangan SulungTemel KotilTurkiye