TUDM Terus Guna Su-30MKM, F/A-18D Hornet 15 Hingga 20 Tahun Lagi

Dengan semua mata tertumpu pada program perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA, sebarang cadangan untuk memperolehi pesawat MRCA perlu menunggu lebih lama untuk direalisasikan, sekurang-kurangnya untuk 15 hingga 20 tahun lagi.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dengan semua mata (serta duit) kini tertumpu kepada perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),  maka sebarang usaha untuk melihat TUDM dibarisi dengan pesawat-pesawat pejuang MRCA yang baru tidak akan berlaku dalam jangka masa terdekat ini.

Pesawat-pesawat pejuang, F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM akan terus menabur khidmatnya dengan TUDM sehingga tahun 2035 dan tahun 2040, sebelum ia dibersarakan dan digantikan dengan pesawat-pesawat pejuang MRCA yang baru.

Malaysia menandatangani perjanjian dengan Russia pada 2003 untuk memperolehi 18 buah pesawat Sukhoi Su-30MKM, dengan pesawat pertama diterimanya pada 2007, manakala menerima lapan buah pesawat F/A-18D Hornet pada 1997.

Untuk memastikan pesawat-pesawat pejuang TUDM itu terus mampu beroperasi pada tahap maksimum untuk  15 hingga 20 tahun lagi, F/A-18D dan Sukhoi Su-30MKM  itu akan dinaiktaraf supaya kemampuannya selari dengan peredaran zaman.

Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang mengesahkan perkara itu berkata, pesawat-pesawat pejuang TUDM itu akan menjalani proses penyelenggaran khusus dan dinaiktaraf supaya ia mampu beroperasi dengan berkesan sehingga tahun 2035 dan 2040.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

“Untuk memastikan ia (F/A-18D dan Su-30MKM) meneruskan kemampuan operasinya, pesawat-pesawat F/A-18D akan menjalani program penyelenggaran dalam negara 12 tahun (Local Planned Maintenance 12 years – LPM12Y) pada tahun ini.”

“Bagi pesawat Su-30MKM, ia sedang menjalani program Service Life Extension Programme (SLEP) dan program Mid-Life Upgrade (MLU) yang akan memastikan perkhidmatannya sehingga tahun 2040 dan selepas daripada itu.”

— Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad dalam temuramah dengan sebuah majalah pertahanan berbahasa Inggeris.

Pesawat Sukhoi Su-30MKM

 

TUDM memiliki lapan buah pesawat pejuang F/A-18D buatan Amerika Syarikat dan 18 buah Su-30MKM buatan Russia.

Program perolehan pesawat baru bagi menggantikan F/A-18D Hornet akan dilakukan pada Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14) tahun 2030-2035, manakala perolehan pesawat baru untuk menggantikan Su-30MKM pula akan dilakukan pada RMK-15 (2036-2040).

— Panglima TUDM

Sekurang-kurangnya diantara 15 tahun hingga 20 tahun lagi sebelum kita melihat pesawat-pesawat MRCA (multi-role combat aircraft) yang baru memasuki perkhidmatan TUDM.

Kenyataan daripada Panglima TUDM itu adalah petanda jelas bahawa peminat-peminat pertahanan negara perlu menunggu lebih lama lagi sebelum kita memperolehi pesawat-pesawat pejuang MRCA generasi terkini.

Pesawat F/A-18D Hornet TUDM .

 

Sementara kita terus menggunakan lapan buah F/A-18D Hornet dan 18 buah Su-30MKM untuk menjaga keselamatan ruang udara negara, proses perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan/Fighter Lead-In Trainer (LCA/FLIT) sedang berjalan dengan lancar.

Tender antarabangsa Kementerian Pertahanan bagi mendapatkan 18 buah pesawat LCA/FLIT telah pun tamat pada 22 September lepas.

Dalam temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris itu juga,  Ackbal turut ditanya mengenai pesawat-pesawat F/A-18 C/D milik Tentera Udara Kuwait yang telah pun ditamatkan perkhidmatannya selepas negara Timur Tengah itu membeli pesawat pejuang MRCA baru.

Pihak TUDM kata Panglima, telah pun menghantar surat kepada Panglima Angkatan Tentera Kuwait untuk menyatakan hasratnya memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Tentera Udara Kuwait.

Pesawat-pesawat F/A-18 C/D itu dikatakan masih berkeadaan baik dengan jumlah jam penerbangan yang rendah.

“Kita (TUDM dan Tentera Udara Kuwait) masih berunding dan masih menunggu reaksi balas daripada mereka (Kuwait),” kata Panglima TUDM dalam temuramah itu.

Kuwait dan Itali menandatangani perjanjan perolehan 28 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon bernilai Euro 8 Billion pada 2015.

Tentera Udara Kuwait juga memperolehi pesawat Super Hornet.

Pesawat F/A-18 E/F Super Hornet Tentera Udara Kuwait.

 

Minggu lepas, Panglima TUDM itu juga berkata bahawa beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya daripada Kuwait bagi membincangkan kemungkinan TUDM memperolehi pesawat F/A-18C/D Hornet terpakai daripada negara Timur Tengah itu.

Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika menghadiri pameran Dubai Airshow 2021 yang bakal berlangsung di Dubai World Central daripada 14 hingga 18 November 2021.

Perolehan pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu menyebabkan Kuwait menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang F/A-18 C/D milikinya.

“Pelbagai usaha sedang dilaksanakan, kita juga sedang menunggu… insya-Allah saya akan ke Dubai Airshow 2021 (di Dubai World Central dari 14 hingga 18 November 2021).

“Staf-staf saya sedang mengatur untuk mengadakan pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait… kalau berkesempatan untuk bertemu mata dengan mata, bertanya daripada mulut beliau sendiri sama ada mereka mempunyai hasrat menjual pesawat itu kepada pihak yang ketiga,” kata Panglima TUDM itu.

 

Pesawat Eurofighter Typhoon

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter untuk perkembangan terkini dunia pertahanan dan keselamatan.

AckbalMRCAPesawatTUDM
Comments (1)
Add Comment