“Saya Sudah Hubungi Pihak Kuwait” – Menhan

Setakat ini cadangan perolehan pesawat-pesawat F/A-18C/D Hornet terpakai milik Kuwait itu masih "terumbang-ambing" lagi dan tiada kata putus lagi.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada sidang media Menhan Hishammuddin Hussein selepas Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 di Kem Syed Sirajuddin,Gemas semalam, beliau turut ditanya tentang perkembangan terkini berkenaan cadangan perolehan pesawat F/A-18D milik Tentera Udara Kuwait.

Menurutnya, setakat ini tiada apa-apa yang kukuh berkenaan cadangan untuk memperolehi pesawat Hornet Tentera Udara Kuwait.

“Kita tengah buat dan saya akan umumkan bila ada something concrete supaya ia dapat upgrade dan jadi buffer kepada F/A-18D kita.”

Tiga buah pesawat F/A-18C/D Tentera Udara kuwait yang cuba dibeli oleh Malaysia.

 

“Saya sudah hubungi pihak Kuwait dan kawan kawan kita yang lain,” katanya apabila ditanya berkenaan perkembangan terkini tentang cadangan itu.

Berdasarkan kepada jawapan Menhan itu, kita dapat simpulkan bahawa cadangan supaya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memperolehi pesawat-pesawat F/A-18D milik Tentera Udara Kuwait itu masih “terumbang-ambing” dengan tiada kata-putus lagi.

Setakat itu tiada perkara yang kukuh berkenaan cadangan itu.

Namun menurut Menhan, beliau telah menghubungi pihak Kuwait berkenaan perkara itu.

 TUDM merancang untuk membeli pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum ia membeli pesawat Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru.

Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.

Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya,  Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.

Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion.

Sehingga akhir Disember tahun lepas, Kuwait hanya menerima dua buah pesawat pejuang Eurofighter.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Tahun lepas ketika di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata Kementerian Pertahanan merancang mengadakan rundingan dengan Kuwait untuk memperolehi 33 buah pesawat pejuang Hornet milik negara Timur Tengah secara “lock, stock and barrel.”

“Perolehan yang dirancang adalah berbentuk Lock, Stock and Barrel  (lengkap) sebanyak 33 buah Pesawat F/A-18 C/D Tentera Udara Kuwait,

“Kerajaan Kuwait dijangka akan melucut tauliahkan pesawat F/A-18C/D setelah menerima dan mengoperasikan pesawat terbaharu F/A-18E/F (Super Hornet) dari  Amerika Syarikat,” kata Ikmal.

Menurut beliau, pesawat pejuang F/A-18C/D  yang dioperasikan oleh Tentera Udara Kuwait itu masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding F/A-18D yang dioperasikan oleh TUDM. — DSA

F/A-18 HornetfeaturedHishammuddinKuwaitTUDM