Apa Perkembangan Usaha TUDM Mendapatkan F/A-18C/D Tentera Udara Kuwait?

Memandangan pertemuan di antara Panglima TUDM dan Panglima Tentera Udara Kuwait sepatutnya berlaku lebih daripada satu bulan yang lepas, maka persoalan juga timbul sama ada TUDM “berjaya atau tidak” mendapatkan pesawat F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Awal bulan lepas, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad memberitahu media bahawa beliau akan bertemu dengan Panglima Tentera Udara Kuwait  untuk membincangkan tentang kemungkinan TUDM memperolehi pesawat F/A-18C/D Hornet terpakai daripada negara Timur Tengah itu.

Panglima TUDM mengatakan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika menghadiri pameran Dubai Airshow 2021 yang bakal berlangsung di Dubai World Central daripada 14 hingga 18 November 2021.

“Pelbagai usaha sedang dilaksanakan, kita juga sedang menunggu… insya-Allah saya akan ke Dubai Airshow 2021 (di Dubai World Central dari 14 hingga 18 November 2021).

“Staf-staf saya sedang mengatur untuk mengadakan pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait… kalau berkesempatan untuk bertemu mata dengan mata, bertanya daripada mulut beliau sendiri sama ada mereka mempunyai hasrat menjual pesawat itu kepada pihak yang ketiga,” katanya.

Ackbal berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutup Eksesais PARADISE Siri 8/2021 di Pangkalan Udara Kuantan pada bulan lepas itu.

Pesawat F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait

Memandangan pertemuan di antara kedua-dua panglima sepatutnya berlaku lebih daripada satu bulan yang lepas, maka persoalan juga timbul sama ada TUDM “berjaya atau tidak” mendapatkan pesawat F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait itu.

Adakah usaha TUDM mendapatkan pesawat-pesawat Hornet milik Tentera Udara Kuwait sebagai tambahan kepada lapan buah pesawat F/A-18C/D milik TUDM itu berhasil? Kita harapkan ia berhasil.

Sekurang-kurangnya adanya tambahan kepada Hornet kita sehingga TUDM membersarakan pesawat itu pada tahun 2035-2040.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan daripada pihak panglima TUDM mengenai perkembangan pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya daripada Kuwait itu pada Dubai AirShow yang berlangsung pada bulan lepas itu.

Dalam satu temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris tidak lama dahulu, Ackbal berkata, pihak TUDM telah menghantar surat bagi kepada Panglima Tentera Udara Kuwait untuk menyatakan hasratnya untuk memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Tentera Udara Kuwait yang telah ditamatkan perkhidmatannya.

“Kita (TUDM dan Tentera Udara Kuwait) masih berunding dan masih menunggu reaksi balas daripada mereka (Kuwait),” kata Panglima TUDM.

TUDM merancang untuk membeli pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum ia membeli pesawat Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru.

Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memutuskan untuk memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.

Ia memiliki sebanyak 27 buah pesawat F/A-18 C/D dan tujuh buah pesawat F/A-18D pada ketika ini.

Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D dan F/A-18D atau dipanggil “legasi Hornet”, Kuwait telah membeli sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.

Super Hornet

 

Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems.

Sebelum ini terdapat juga laporan bahawa Tunisia turut berminat untuk mendapatkan pesawat-pesawat F/A-18C/D Hornet yang telah ditamatkan perkhidmatannya oleh Tentera Udara Kuwait.

Dikatakan, Kuwait hanya meletakkan hanya US$1 juta bagi setiap pesawat Hornet Tentera Udara negara itu yang dijual kepada Tunisia.

Tunisia bagaimanapun terpaksa mengeluarkan kos sepenunhya untuk menaiktaraf pesawat-pesawat F/A-18C/D Tentera Udara Kuwait itu.

Eurofighter Typhoon

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

AckbalF/A-18C/DfeaturedKuwaitTUDM
Comments (0)
Add Comment