TUDM Terima Semula F/A-18D M45-01 Selesai Jalani LPM12Y

“Penyelengaraan (depot level) atau ""Local Planned Maintenance 12 Years" (LPM12Y) ini melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur pesawat, penilaian kerosakan dan baik pulih kerosakan struktur yang disebabkan haus dan lusuh atau kemerosotan material ke atas pesawat akibat persekitaran operasi.”

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menerima semula pesawat F/A-18D M45-01 yang sebelum ini menjalani proses penyelenggaraan (depot level) bertempat di Hangar Hornet Readiness Center (HRC), Pangkalan Udara Butterworth.

Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan telah menyaksikan serahan dan penerimaan pesawat F/A-18 D yang selesai diselenggara daripada syarikat Rosebank Engineering kepada Pegawai Memerintah No 18 Skuadron, Lt Kolonel Khamizan Morsidi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TUDM menerusi akaun media sosialnya, pihak Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU) telah merancang untuk melaksanakan penyelengaraan ‘depot level’ ke atas pesawat ini selepas ia beroperasi selama 24 tahun pada 2021.

“Penyelengaraan ini melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur pesawat, penilaian kerosakan dan baik pulih kerosakan struktur yang disebabkan haus dan lusuh atau kemerosotan material ke atas pesawat akibat persekitaran operasi.”

“Secara amnya pesawat F/A-18D ini perlu menjalani penyelenggaraan di luar negara. Walau bagaimanapun, penyelenggaraan ini tidak dapat dilaksanakan berikutan situasi Covid-19 yang melanda negara mengakibatkan peningkatan kos serta limitasi lain,” menurut TUDM.

TUDM

 

TUDM memiliki lapan buah pesawat F/A-18D Hornet yang diletakkan di bawah No 18 Skuadron.

Bagi memastikan kesiapsiagaan TUDM pada tahap yang tinggi, ia telah mengambil pendekatan dengan melaksanakan  penyelenggaraan ‘depot level’   yang dikenali sebagai “Local Planned Maintenance 12 Years” (LPM-12Y).

Menurut TUDM, ini merupakan kali pertama penyelenggaraan depot-level (LPM-12Y) dilaksanakan di Malaysia yang melibatkan kerjasama TUDM dan industri tempatan.

Penyelenggaraan ini melibatkan Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Butterworth, No 18 Skuadron, Syarikat Rosebank Engineering (dikenali sebelum ini sebagai RUAG) dan G7 Global Aerospace.

TUDM

 

Mengimbau semula pelaksanaan LPM-12Y menurut TUDM,  penyelenggaraan itu mengambil masa selama hampir setahun enam bulan bermula daripada 26 Julai 2021 sehingga 5 Januari 2023.

“Selain penyelenggaraan ‘depot level’, pelaksanaan LPM-12Y ini memberikan manfaat khususnya juruteknik pesawat untuk mengambil pengalaman serta menimba pengetahuan dalam penyelenggaraan pesawat secara lebih menyeluruh di samping memenuhi keperluan juruteknik bagi program senggaraan pada masa akan datang,” kata TUDM.

Lima anggota TUDM yang terpilih dalam “Integrated Programmed Team” (IPT) yang bekerja bersama selama setahun setengah turut menerima sijil penghargaan daripada Pengarah Urusaan syarikat G7 Global Aerospace Datuk Rosdi Mahmud.

Usaha bersepadu ini juga  bertepatan dengan Tonggak Ke-5 Perintah Ulung PTU Ke-20 iaitu Peningkatan Keupayaan TUDM Melalui Kolaborasi Bersama Industri Pertahanan Tempatan dalam membangun dan mempertingkatkan kemampuan angkatan udara.

Di dalam jangka masa panjang, akan menjimatkan kos-kos pembangunan angkatan atau penyelenggaraan aset-aset TUDM serta mewujudkan sinergi baharu secara berterusan dengan industri pertahanan tempatan.  — DSA

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

F/A-18DfeaturedLPM12YPenyelenggaraanTUDM