TUDM Akan Ke Kuwait Bulan Depan, Runding Peroleh F/A-18D Milik Negara Arab Itu

Panglima TUDM Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata pesawat-pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mengadakan kunjungan ke Kuwait bulan depan untuk berunding dengan Kuwait bagi memperolehi pesawat-pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik tentera udara negara Arab itu.

Panglima TUDM Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata pesawat-pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.

“TUDM masih menaruh harapan untuk memiliki pesawat pejuang F/A-18D Hornet walaupun negara Arab itu terpaksa menyelenggara dan menaik taraf pesawat Hornet sedia ada disebabkan penghantaran pesawat pejuang F/A-18E/F (Super Hornet) dibeli oleh Kuwait berdepan kelewatan.

“Kuwait mempunyai 39 pesawat itu (F/A-18D Hornet) terdiri daripada pesawat satu dan dua tempat duduk sahaja. Jadi pada lawatan itu nanti pihak TUDM dan kerajaan Malaysia sendiri akan menentukan jumlah pesawat yang diperlukan,” katanya sebagaimana dipetik oleh media-media tempatan hari ini.

Isu mengenai perolehan pesawat-pesawat pejuangF/A-18D Hornet Kuwait itu timbul semula walaupun pada Jun tahun lepas, negara Arab itu  Kuwait telah memohon kepada Amerika Syarikat untuk menyelenggara dan menaiktaraf pesawat Hornet miliknya bernilai US$1.8 bilion.

F/A-18 milik Tentera Udara Kuwait

 

Permohonan itu adalah kerana penghantaran pesawat-pesawat pejuang F/A-18E/F Super Hornet yang dibeli oleh Kuwait berhadapan dengan kelewatan, memaksa ia menyelenggara dan menaiktaraf pesawat Hornet sedia-ada miliknya.

Kuwait bercadang terus menggunakan pesawat Hornetnya, selagi ia belum lagi menerima pesawat pejuang Super Hornet yang dibelinya.

Pada Jun tahun lepas, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengumumkan ia telah meluluskan kemungkinan Foreign Military Sales (FMS) kepada kerajaan Kuwait kerja-kerja kejuruteraan dan penyelenggaraan bernilai US$1.8 bilion.

Kerja-kerja kejuruteraan itu termasuklah menaiktaraf perisian, naiktaraf komponen enjin, pembaikan alatganti enjin dan pesawat dan lain-lain.

Kerja-kerja penyelenggaraan dan naiktaraf pesawat Hornet Kuwait itu berkemungkinan membawa maksud bahawa negara Timur Tengah itu belum lagi bersedia untuk “berpisah” dengan pesawat-pesawat Hornet miliknya sama ada kepada Malaysia atau pihak-pihak lain.

Pada Mac tahun lepas,  Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa ia masih menaruh harapan untuk memiliki pesawat-pesawat pejuang terpakai F/A-18C/D terpakai milik Kuwait, tetapi hasratnya terbantut akibat ketiadaan komitmen daripada kerajaan negara Timur Tengah itu. 

Salah satu daripada 33 buah pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet Tentera Udara Kuwait.

 

Menteri Pertahanan pada ketika itu,  Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kementeriannya serta Menteri Pertahanan terdahulu telah menulis surat sebanyak tiga kali kepada kerajaan Kuwait menyatakan hasrat negara untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang terpakai F/A-18C/D milik negara Arab itu.

Mohamad Hasan yang lebih dikenali dengan panggilan “Tok Mat” berkata, walaupun pesawat-pesawat F/A-18C/D milik Kuwait itu adalah terpakai tetapi ia masih boleh digunakan kerana “flying hours” (jam penerbangannya) masih rendah dan telah dinaiktaraf.

Malaysia merancang untuk membeli pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilengkapi dengan membeli pesawat (MRCA yang baru.

Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.

Pesawat F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait
Pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). (pix credit to owner)

 

Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya,  Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.

Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion.

Pada 2021, Timbalan Menteri Pertahanan pada ketika itu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata Kementerian Pertahanan merancang mengadakan rundingan dengan Kuwait untuk memperolehi 33 buah pesawat pejuang Hornet milik negara Timur Tengah secara “lock, stock and barrel.” — DSA

F/A-18DfeaturedKuwaitTUDM
Comments (1)
Add Comment