Menteri Pertahanan Kini Di Turkiye, Dipercayai Berkaitan Perolehan Kapal LMS Batch II TLDM

Kunjungan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ke Turkiye dipercayai berkait-rapat dengan cadangan perolehan tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad kini berada di Turkiye untuk lawatan kerja selama dua, di mana beliau dijangka akan mengadakan perbincangan dengan industri pertahanan negara Mediterranean itu tentang cadangan perolehan tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Alhamdulillah selamat tiba di Istanbul Grand Airport dan terus ke Ankara. Disambut Duta Besar Malaysia, Konsul Jeneral  dan DA (Defence Adviser – Penasihat Pertahanan) Malaysia untuk lawatan kerja rasmi dua hari saya di Turkiye.”

“Sepatutnya terus ke Cilekhan (Celikhan), dimana hospital medan Tentera Darat Malaysia beroperasi. Tetapi cuaca bersalji yang tebal turun disana.  Perjalanan terpaksa dibatalkan. Esok akan ke Cilekhan (Celikhan), Insha Allah,” kata beliau menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Menteri Pertahanan bersalaman dengan individu dipercayai Ismail Demir yang merupakan Presiden Industri Pertahanan Turkiye (SSB). (kredit FB Tok Mat)

 

Dalam gambar-gambar yang disertakan dalam posting Facebook beliau, turut disertakan pertemuan Mohamad Hasan dengan Ismail Demir yang merupakan Presiden Industri Pertahanan Turkiye (SSB).

Bercakap di Parlimen pada 8 Mac lalu, Mohamad Hasan berkata bahawa beliau akan ke Turkiye untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan negara serta agensi pertahanannya berkaitan perolehan kapal-kapal LMS Batch II untuk kegunaan TLDM.

Perolehan tiga buah kapal LMS Batch II yang pertama daripada lapan buah keseluruhan itu akan dilakukan menggunakan kaedah Government-to-Government (G-to-G) bagi mengelak sebarang kelewatan dalam pembinaannya, sebagaimana yang berlaku dalam program pembinaan kapal-kapal Littoral Combat Ship (LCS). 

(kredit FB Tok Mat)

 

“Saya diarahkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)  untuk pergi ke Turkiye. Untuk berunding dengan rakan sejawatan saya dan juga agensi pertahanan negara di sana untuk kita mendaftarkan minat kita terhadap perolehan kapal-kapal LMS itu.

“Dan kita lihat bagaimana perundingan ini boleh kita segerakan, supaya perolehan kapal-kapal LMS Batch II dibuat secara telus yang mungkin.”

“Kita tidak akan menggunakan pihak ketiga tetapi urusan antara kerajaan dengan kerajaan,” katanya, sambil menambah bahawa apa yang penting adalah kaedah G-to-G itu dapat memastikan TLDM memperolehi kapal-kapal perang terbabit dalam keadaan yang baik dan tepat pada masanya.

Kapal korvet kelas-ADA Tentera Laut Turki, TCG Kinaliada (F 514)

 

Perolehan tiga buah kapal LMS Batch II itu akan dilakukan dengan cara yang paling telus, bagi memastikan TLDM memperolehi aset yang diperlukan supaya dapat memastikan kedaulatan dan keselamatan maritime negara.

Pada 11 Mac lalu, Defence Security Asia dalam laporannya yang memetik laman pertahanan Turkiye berkata TLDM berkemungkinan besar memilih rekabentuk kapal korvet kelas-Ada untuk menjadi pilihan kapal-kapal LMS Batch II.

Laman web pertahanan Turki, SavunmaSanayiST.com menyatakan bahawa rekabentuk kapal korvet kelas-ADA dibangunkan oleh syarikat perkapalan negara itu, STM, menjadi pilihan Kementerian Pertahanan Malaysia untuk program pembinaan kapal-kapal LMS Batch II.

Menurut laman web itu lagi, Malaysia akan memperolehi tiga buah kapal LMS Batch II di bawah fasa pertama manakala lapan buah lagi kapal diperolehi dalam fasa kedua.

“Peruntukan untuk pembinaan tiga buah kapal LMS Batch II itu akan dilakukan di bawah fasa pertama dengan program (pembinaan tiga buah kapal) berkenaan menelan belanja US$530 juta (RM2.2 bilion),” menurut laman web Turki itu dalam artikel yang disiarkan pada 8 Mac yang lalu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

featuredKapalLMSTLDMTok MatTurkiye
Comments (0)
Add Comment