TLDM Terima Banyak Tawaran Negara Asing Adakan Latihan Dengan Kapal Selam Negara

Tawaran dan permohonan untuk mengadakan latihan dengan kapal selam TLDM membuktikan tentera laut negara asing teruja dengan kemampuan kapal selam "Scorpene"dan krew kapal-kapal selam negara.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Angkatan Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima banyak tawaran dan permohonan daripada tentera-tentera laut negara luar yang mahu mengadakan latihan dengan kapal-kapal selam “Scorpene” kelas-Perdana Menteri negara, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.

Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir berkata, tawaran daripada negara-negara luar untuk mengadakan latihan bersama dengan dua buah kapal selam negara itu mungkin kerana mereka “teruja” untuk berlatih dengan kapal selam “Scorpene” yang dimiliki oleh TLDM.

Ini kerana katanya, tidak banyak negara di dunia ini yang memiliki dan mengoperasi kapal selam “Scorpene” sebagaimana TLDM.

Hanya empat buah negara di seluruh dunia mengoperasi kapal selam “Scorpene” yang dibina oleh firma DCNS/Navantia pada ketika ini.

Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir

Selain Malaysia, tentera laut negara lain yang menggunakan kapal selam Scorpene adalah India, Brazil dan Chile.

KD Tunku Abdul Rahman dan helikopter Fennec TLDM.

 

TLDM merupakan satu-satunya tentera laut di Asia Tenggara yang memiliki kapal selam buatan Perancis/Sepanyol  itu, dengan firma DCN daripada Perancis turut dikatakan menawarkan kapal selam Scorpene kepada Filipina untuk tentera laut negara itu.

“Dalam tempoh 12 tahun operasi kapal selam ini, terdapat banyak tawaran yang diterima (oleh TLDM) daripada negara-negara luar, permohonan untuk menghantar kapal selam mereka ke perairan negara kita dan melaksanakan latihan dengan kapal selam kita.”

“Kita sedia maklum bahawa kapal selam Scorpene ini tidak banyak di dalam dunia, hanya empat buah negara yang mengoperasikannya dan dirantau kita hanya Malaysia (mengoperasikannya). Jadi mereka begitu excited untuk melaksanakan latihan (kapal selam) dengan kita,” kata Mohd Razib dalam wawancara bersama sebuah akhbar tempatan yang disiarkan menerusi You Tube dan Facebook.

Kapal Selam TLDM

 

Ada permohonan untuk mengadakan latihan kapal selam bersama daripada negara-negara luar yang diterima oleh TLDM tetapi ada juga yang terpaksa ditolak oleh mereka, katanya.

Di antara negara-negara sahabat di mana angkatan kapal selam TLDM pernah melakukan “interaksi secara face-to-face” di daratan selain mengadakan latihan di lautan termasuklah Australia, Amerika Syarikat, New Zealand dan United Kingdom.

Gambar pelancaran peluru berpandu SM-39 oleh kapal selam TLDM beberapa tahun lepas. (gambar fail)

 

Beliau berkata, walaupun TLDM baru 12 tahun mengoperasikan kapal selam dan angkatan kapal selamnya disifatkan masih muda, tetapi angkatan kapal selam negara telah membuktikan kemampuannya didalam mengoperasikan kapal selam di dalam tempoh yang singkat.

“Dari segi keupyaan tempur, kita telah berjaya membuktikan keupayaan dalam beberapa siri latihan penembakan yang telah kita lakukan, sebagai contoh kapal-kapal selam kita telah melakukan dua penembakan peluru berpandu Exocet SM39.”

“Kita juga pernah lakukan penembakan torpedo yang tepat mengenai sasaran pada 2014,” kata Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM itu.

Kapal-kapal selam TLDM menggunakan torpedo “Black Shark.”

Torpedo Black Shark yang melengkapi kapal selam TLDM

 

Selain TLDM yang menggunakan kapal selam jenis “Scorpene”, tentera laut Indonesia memilih kapal selam buatan Jerman dan Korea Selatan, manakala Singapura pula menggunakan kombinasi kapal selam yang baru dimilikinya daripada Jerman dan Sweden (terpakai).

Thailand pula akan memiliki tiga buah kapal selam buatan China di dalam tempoh beberapa tahun ini, manakala Myanmar pula memiliki sebuah kapal hasil ehsan daripada India.

Vietnam pula memiliki enam buah kapal selam jenis “Kilo” buatan Russia yang dilengkapi dengan peluru berpandu “Klub”.

Kesan bedilan daripada torpedo Black Shark yang dilancar oleh kapal selam TLDM.

 

—  DEFENCE SECURITY ASIA

Kapal SelamScorpeneTLDM