TLDM Ganti Sistem Radio Di Kapal-Kapal LMS Baru Diterima Daripada China?

Tender bagi sistem radio baru LMS itu dikatakan telah dikeluarkan pada Ogos lalu untuk dua buah kapal LMS yang pertama, sebelum tender bagi LMS ketiga dikeluarkan kemudian.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan telah bertindak menggantikan sistem radio bagi ketiga-tiga kapal Littoral Mission Ship (LMS) kelas-Keris yang baru sahaja diterimanya daripada China.

Menurut portal pertahanan berbahasa Inggeris tempatan, Malaysia Defence, tender bagi sistem radio baru kapal LMS itu dikatakan telah dikeluarkan pada Ogos lalu untuk dua buah kapal LMS yang pertama, sebelum tender bagi kapal LMS ketiga dikeluarkan kemudian.

Dan minggu lepas, dalam laman web e-perolehan pemenang bagi tender itu telah dimaklumkan… dengan syarikat Rohde & Schwarz Malaysia Sdn Bhd telah diumumkan sebagai pemenang.

Rohde & Schwarz Malaysia merupakan anak syarikat kepada syarikat pembuat sistem elektronik daripada Jerman itu.

Tiada sebab mengapa TLDM bertindak menggantikan sistem radio asal buatan firma China itu diketiga-ketiga kapal LMS dengan sistem radio buatan firma Jerman yang turut digunakan oleh beberapa buah kapal milik tentera laut yang lain.

Kapal LMS milik TLDM (gambar kredit TLDM)

 

Adakah faktor commonality peralatan menjadi faktor utama atau sebab keselamatan memainkan peranan. Kita hanya mampu berspekulasi tentang puncanya.

Laporan oleh Malaysia Defence itu turut menyertakan keratan laporan oleh majalah pertahanan antarabangsa, Janes yang mengesahkan tindakan TLDM itu.

Ia turut mengatakan bahawa setiap satu kontrak itu bernilai US$115,000, membawa jumlah keseluruhan kontrak itu kepada RM1.4 juta.

Mengenai sistem radio bagi LMS keempat yang dijangka tiba di Malaysia pada Disember ini, terdapat kemungkinan sistem radio buatan China akan digantikan dengan sistem oleh Rohde & Schwars sebagaimana ketiga-tiga LMS yang lain.

Adakah penggantikan sistem radio di kapal-kapal LMS ini ada kaitan dengan dakwaan di dalam artikel majalah pertahanan antarabangsa itu, Janes pada Oktober tahun lepas?

Menurut artikel majalah pertahanan terkenal itu, TLDM telah mengesan beberapa kerosakan (defect) pada KD Keris (LMS 111) yang baru diterimanya daripada China itu dan sedang berusaha untuk mengatasi masalah-masalah terbabit.

TLDM sebagaimana didedahkan oleh majalah itu sedang berbincang dengan beberapa kontraktor di dalam usaha mereka untuk menyelesaikan permasalahan yang sedang berlaku itu.

Mereka juga berusaha untuk memastikan masalah yang sama tidak dihadapi oleh tiga buah kapal LMS yang kini sedang dibina di China pada ketika ini.

Kapal LMS ketiga TLDM

 

Malaysia menandatangani perjanjian pembelian empat buah kapal LMS dengan China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) pada April 2017 bernilai RM1.17 billion.

Ia adalah pembelian kapal perang yang pertama daripada China kerana sebelum ini kesemua kapal-kapal TLDM sama ada dibina di limbungan kapal tempatan atau negara-negara Barat.

Menurut Janes, antara masalah yang dihadapi oleh KD Keris sebagaimana maklumat yang diberikan oleh sumber di dalam industri, adalah membabitkan sistem sensor dan sistem pengurusan kombat yang dibekalkan oleh syarikat daripada China.

Menurut majalah pertahanan antarabangsa itu, kapal KD Keris yang memiliki panjang 68 meter itu dilengkapi dengan OFC-3 electro optical tracking system yang dibekalkan oleh syarikat Huazhong Institute of Electro Optics, radar permukaan dan udara daripada syarikat Nanjing Marine Radar Institute.

KD Keris menurut Janes, juga dilengkapi dengan sistem Electronic Support Measure (ESM) daripada Southwest Institute of Electronic Equipment of China.

Kapal LMS TLDM terbabit juga dilengkapi dengan radar navigasi VisionMaster FT250 daripada Sperry Marine, yang juga menampilkan Automatic Identification System (AIS) dan Electronic Chart Display And Information System (ECDIS).

Daripada segi persenjataan pula, kapal TLDM itu dilengkapi dengan satu meriam 30mm CS/AN3 daripada Chonging Chang’an Industrial Group Limited dan  dua mesingan CS/LM6 12.7mm daripada Sichuan Huaqing Machinery Company Limited.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

KD KerisLMSTLDM
Comments (0)
Add Comment