TLDM Jangka Terima Kapal LCS 1, LCS 2 Pada 2026 – PAT

Kapal pertama Littoral Combat Ship (LCS) dijangka diserahkan kepada Tentera Laut pada Januari 2026, kapal kedua pada September 2026, kapal ketiga pada Mei 2027, kapal keempat pada Januari 2028 dan kapal kelima pada September 2028.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang  menyatakan bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menerima dua buah kapal perang Littoral Combat Ship (LCS) pada Januari dan September 2026.

Katanya, pembinaan kapal perang termoden TLDM berkenaan telah bermula semula pada awal September selepas tertangguh selama tiga tahun melibatkan subkontraktor tempatan dan peralatan dari pengilang peralatan asli (OEM).

“Kabinet pada April lalu telah membuat keputusan untuk meneruskan projek LCS ini kerana ia aset yang sangat diperlukan oleh tentera laut bagi memastikan kedaulatan, integriti wilayah dan kepentingan maritim negara sentiasa terpelihara.

“Berdasarkan perancangan, kapal pertama dijangka diserahkan kepada Tentera Laut pada Januari 2026, kapal kedua pada September 2026, kapal ketiga pada Mei 2027, kapal keempat pada Januari 2028 dan kapal kelima pada September 2028,” menurut beliau sebagaimana dipetik oleh akhbar Sinar Harian.

Bagi memastikan kedaulatan maritim negara terus diperkasa,  Affendi juga berkata, ATM turut mendaftarkan projek perolehan kapal Littoral Mission Ship (LMS) dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi tahun 2023.

Tambahnya, perolehan LMS kelompok kedua ketika ini masih dalam peringkat menunggu kelulusan pelaksanaan projek daripada kerajaan dan ia dikategorikan sebagai projek kritikal dan perlu diberi keutamaan tinggi.

TLDM menurutnya berpandangan perolehan sebanyak lapan buah kapal LMS kelompok kedua perlu dilaksanakan seiring perolehan lima buah LCS yang sedang dalam pembinaan.

“Sebagai sebuah negara maritim, keluasan perairan negara memerlukan tentera laut mempunyai keupayaan cegah rintang yang kredibel.

 

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

“Bagi memenuhi keperluan ini, TLDM berpandangan perolehan baharu sebanyak lapan buah kapal LMS kelompok kedua perlu dilaksanakan seiring dengan perolehan lima buah LCS yang sedang berlangsung.

“Aset terbaharu yang telah memasuki inventori tentera laut adalah empat buah kapal LMS kelompok pertama, tiga buah helikopter operasi maritim (HOM), enam buah bot pemintas (FIC) dan 12 buah sistem pesawat tanpa pemandu (UAS),” katanya lagi.

Berlainan dengan empat buah kapal LMS Batch 1 yang hanya dilengkapi dengan sistem persenjataan ringan seperti meriam, kapal-kapal LMS Batch 2 bakal dilengkapi dengan sistem persenjataan yang lebih berat termasuk peluru berpandu anti kapal “Naval Strike Missile” (NSM) yang dibangunkan oleh firma Kongsberg serta sistem peluru berpandu pertahanan udara.

Terdahulu, Affendi merasmikan Persidangan Perubatan Ketenteraan: Malaysia Military Medicine Conference 2022 (MMMC 22) anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM pada Selasa.

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

BousteadfeaturedKapalLCSTLDM