Kali Terakhir TLDM Perolehi Kapal Kombatan Adalah 25 Tahun Lepas

Sekitar tiga dekad dahulu, Armada TLDM berbangga kerana memiliki sebanyak 16 buah kapal kombatan berkeupayaan tempur (misil) tetapi jumlah ini telah berkurangan dengan drastik pada hari ini akibat faktor keusangan sistem persenjataan dan juga sistem sokongan yang lain,
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Ia adalah sesuatu yang amat memeranjatkan kerana kali terakhir Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memperolehi kapal kombatan adalah 25 tahun lepas melibatkan pembelian kapal korvet Kelas-Laksamana pada tahun 1997.  
TLDM dalam satu kenyataan berkata, sekitar tiga dekad terdahulu Armada TLDM berbangga kerana memiliki sebanyak 16 buah kapal kombatan berkeupayaan tempur (misil).
” … tetapi jumlah ini telah berkurangan dengan drastik pada hari ini akibat faktor keusangan sistem persenjataan dan juga sistem sokongan yang lain,” menurut TLDM.
KD Laksamana Tun Abdul Jamil

 

TLDM amnya dan Armada Barat khasnya amat memerlukan peningkatan keupayaan kombatan ketika ini.
“Perolehan aset-aset baharu seperti LMS B2 (Littoral Mission Ship Batch 2) seperti yang diwar-warkan oleh KEMENTAH amatlah diperlukan segera bagi menampung peningkatan keperluan pengoperasian yang semakin mendesak serta mendepani lanskap keselamatan serantau yang telah jauh berubah. 
“Cabaran dan tanggungjawab yang semakin besar dan mencabar ini tidak terdaya ditampung sekiranya jumlah aset yang ada masih kekal seperti 25 tahun lepas,” katanya.
Menurut TLDM, ketandusan kapal kombatan di Armada TLDM, seperti LCS (Littoral Combat Ship)  dan LMS Batch 2  mengakibatkan kapal kombatan sedia ada seperti KD LEKIR, KD LEKIU dan KD JEBAT terpaksa dioperasikan melebihi dari tempoh kitaran operasi mereka.
 Armada TLDM bukan sahaja menghadapi cabaran mengoperasikan aset yang usang tetapi juga kekurangan aset kombatan yang bersesuaian bagi mempertahankan kedaulatan negara. Pembangunan keupayaan pula tidak berlaku dalam sekelip mata sahaja.
Pengurusan kapal-kapal yang usang ini selain meningkatkan kos operasi dan selenggaraan yang tinggi, ia juga secara langsung menjejaskan keupayaan cegah rintang Armada Barat memantau secara efektif keselamatan serta kedaulatan perairan negara seluas 187,587 km persegi di Selat Melaka dan Perairan Timur Laut China Selatan.
Kapal korvet KD Laksamana Muhammad Amin

 

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, isu mengenai aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang usang telah mendapat tempat di dada-dada akhbar serta media-media online tempatan.

Isu mengenai aset-aset usang TLDM dan ATM, sebenarnya telah lama dibincangkan oleh media-media tempatan.

Cuma apa yang menarik kali ini adalah “perbincangan” mengenai aset-aset usang TLDM kali ini turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan TLDM yang telah secara terbuka memberikan “input” berguna terhadap isu panas itu kali ini.

Pada April lepas, Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Sany sendiri menyatakan bahawa kira-kira 61 peratus atau lebih daripada separuh aset-aset yang dimilikinya pada ketika ini beroperasi melebihi had umur asal rekabentuknya dan telah usang.

(kredit TLDM)

 

Panglima Markas Pemerintahan Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali pula berkata TLDM diperakui kekurangan kemampuan, kekuatan dan aset-aset untuk menangani konflik maritim.

Ini disebabkan ada di antara kapal-kapalnya “sudah berusia” 40 tahun dan sudah di dalam keadaan yang usang.

Terdapat di antara aset-aset TLDM sudah terlalu berusia untuk berfungsi, katanya sambil menambah,  aset-aset milik TLDM jauh ketinggalan berbanding tentera-tentera laut negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

Baru-baru ini, Panglima Armada Barat TLDM Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Alis dilaporkan berkata bahawa 75 peratus daripada 44 buah kapal yang dimiliki oleh TLDM pada ketika ini dikategorikan sebagai sudah “berusia” dengan ada di antaranya telah berkhidmat selama diantara 40 hingga 50 tahun.

TLDM amat memerlukan kapal-kapal yang baru untuk menggantikan kapal-kapal yang telah berusia itu. — DSA

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

featuredKapalTLDMUsang