Hubungan TLDM Dengan Negara Lain Terjejas Akibat Keusangan Aset?

Disebabkan aset-asetnya yang semakin usang, Tentera Laut Diraja Malaysia juga berhadapan dengan cabaran untuk memenuhi komitmennya di dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) membabitkan United Kingdom (UK), Australia, New Zealand, Singapura dan Malaysia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hubungan pertahanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan tentera laut negara lain telah terjejas disebabkan keupayaan TLDM yang tidak setanding dengan negara-negara lain kerana masalah aset-asetnya yang semakin usang dan dimamah usia.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata disebabkan keupayaan TLDM yang tidak setaraf dengan negara lain maka TLDM tidak dianggap sebagai sebagai rakan strategik oleh negara lain.

“Keupayaan TLDM dilihat tidak setaraf dengan tentera laut dari pelbagai negara dan ini menyebabkan TLDM bukan sebuah rakan strategik berwibawa sekali gus menjejaskan hubungan pertahanan antarabangsa negara,” beliau.

(TLDM)

 

Beliau berkata demikian kepada akhbar tempatan, Utusan Melayu dalam satu temuramah eksklusif yang disiarkan oleh akhbar itu baru-baru ini bersempena dengan sambutan Hari TLDM ke-88.

Pada masa depan, jika masalah aset usang ini masih tidak ditangani oleh kerajaan, jangan terperanjat jika tiada negara luar mahu mengadakan latihan bilateral dengan TLDM atau tentera laut negara kita tidak lagi dijemput untuk menyertai latihan-latihan laut multilateral yang besar seperti RIMPAC dan sebagainya.

Disebabkan faktor keusangan aset-asetnya, ada kemungkinan kita akan “disisihkan” daripada komuniti tentera laut antarabangsa dan TLDM berterusan dipandang enteng oleh kuasa luar sama ada “rakan mahupun lawan.”

TLDM menurut Mohd Reza, juga berhadapan dengan cabaran untuk memenuhi komitmennya di dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) membabitkan United Kingdom (UK), Australia, New Zealand, Singapura dan Malaysia.

“Sebagai contoh dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) membabitkan United Kingdom (UK), Australia, New Zealand, Singapura dan Malaysia. Komitmen telah diberi untuk memastikan tiada ancaman konvensional dan bukan konvensional di rantau ini.

(TLDM)

 

“Namun begitu, TLDM menghadapi cabaran untuk memenuhi sebahagian komitmen ini kerana aset kapital yang telah usang dan keupayaan tempur yang semakin menurun,” katanya dalam temuramah itu.

Aset-aset TLDM menurut beliau, tidak mampu menyaingi apa yang dimiliki oleh negara-negara anggota FPDA.

“Aset aset TLDM tidak berupaya menyaingi kecanggihan aset-aset moden negara FPDA sekali gus mampu memperkecilkan peranan TLDM dalam FPDA kelak,” katanya.

Baru-baru ini beliau juga menyatakan bahawa kira-kira 61 peratus atau lebih daripada separuh aset-aset yang dimilikinya telah beroperasi melebihi had umur asal rekabentuknya dan telah usang.

Dalam temuramah dengan akhbar tempatan itu, Panglima TLDM itu juga berkata bahawa TLDM harus berupaya mewujudkan persepsi kepada pihak musuh bahawa mereka merupakan sebuah angkatan digeruni serta berupaya bertindak balas secara efektif.

Persepsi pada masa kini adalah, TLDM adalah angkatan laut yang tidak digeruni dan tidak mampu bertindak balas secara effektif terhadap pencerobohan yang berlaku di Laut China Selatan, disebabkan aset-asetnya yang usang.

TLDM
.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Dalam pada itu, beliau juga berkata, senario keselamatan dunia pada masa ini bersifat dinamik dan sentiasa berubah dalam masa yang singkat.

Senario keselamatan dunia katanya sukar diramal sehingga memerlukan TLDM berada dalam keadaan berwaspada.

“Dunia kini berada dalam satu situasi dikenali sebagai VUCA, V bermaksud volatility atau dalam bahasa Malaysia pergolakan, uncertainty (ketidakpastian), complexity (kompleks) dan ambiguity (kekaburan/ kesamaran).

“Seperti kita semua tahu, sempadan maritim negara berdepan dengan isu tuntutan bertindih, pencerobohan perairan oleh kapal atau bot asing serta kegiatan pelanunan dan rompakan di laut.

Aktiviti-aktiviti ini boleh mengganggu gugat aktiviti ekonomi maritim sekali gus menjejaskan keamanan perairan maritim negara.

“Saya bimbang TLDM tidak mampu bertindak dengan berkesan dan efisien dalam sebilang keadaan sekali gus menjejaskan keselamatan dan keamanan negara daripada ancaman luar,” menurut beliau. — DSA

 

 

Aset UsangfeaturedMohd RezaTLDM
Comments (0)
Add Comment