Thailand Rancang Peroleh Pesawat Pengisi Minyak Bagi Perluas Operasi F-16, Gripen Milik RTAF
Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) merancang untuk memperolehi pesawat tanker pada tahun ini bertujuan mengisi minyak pesawat-pesawat pejuangnya F-16 dan JAS39 Gripen, sekaligus memperluaskan jarak operasi pesawat-pesawat pejuangnya dan projeksi kekuatan udaranya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) merancang untuk memperolehi pesawat tanker pada tahun ini bertujuan mengisi minyak pesawat-pesawat pejuangnya F-16 dan JAS39 Gripen, sekaligus memperluaskan jarak operasi pesawat-pesawat pejuangnya dan projeksi kekuatan udaranya.
Selain itu, perolehan pesawat pengisi minyak oleh RTAF itu juga adalah selaras dengan pelan permodenan dan peningkatan keupayaan Tentera Udara Diraja Thailand.
Bercakap ketika sambutan ke-88 RTAF baru-baru ini, Komander RTAF Marsyal Udara Phanphakdee Phattanakul mengesahkan bahawa perolehan itu adalah untuk tujuan mengisi minyak udara pesawat-pesawat pejuang F-16 dan Gripen, bermakna ia akan memiliki boom dan sistem pengisian minyak multi-point.
Ia akan menggantikan pesawat pengangkut VIP Airbus A340-500 milik RTAF.
Selain memainkan fungsi utamanya sebagai pesawat pengisi minyak, pesawat tersebut juga akan digunakan untuk mengangkut VIP dan sebagai platform untuk memindahkan pesakit, sebagaimana peranan yang dimainkan oleh pesawat Airbus A330 MRTT (Multi Role Transport Tanker) milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF).
Pada ketika ini, hanya RSAF memiliki pesawat pengisi minyak/ pelbagai guna di Asia Tenggara dengan mengoperasikan enam buah pesawat A330 MRTT yang kini beroperasi di Pangkalan Udara Changi (East).
Sekiranya perolehan pesawat tanker/pelbagai guna oleh RTAF itu diluluskan, maka ia berkemungkinan besar akan diperolehi pada tahun 2028 dan 2029.
Airbus A330 MRTT dimiliki oleh Republic of Singapore Air Force (RSAF)
Cadangan perolehan pesawat tanker/pelbagai guna ini selaras dengan garis panduan yang ditetapkan dalam Kertas Putih Pertahanan Thailand 2024, yang menekankan keperluan untuk memodenkan armada sedia ada dengan pesawat yang berupaya melakukan penerbangan antara benua serta menjalankan misi pemindahan warganegara Thailand sekiranya berlaku krisis antarabangsa.
RTAF menggunakan pesawat pengangkut tunggal miliknya, Airbus A340-500 untuk memindahkan rakyat Thailand yang dibebaskan oleh kumpulan bersenjata Hamas beberapa bulan lalu.
RTAF dilaporkan sedang menimbangkan tiga calon untuk menjadi pesawat tanker/pelbagai guna miliknya iaitu Airbus A330 MRTT, Boeing KC-46 Pegasus, dan Boeing KC-135 Stratotanker, dengan setiap model menawarkan kelebihan dan cabaran tersendiri berdasarkan keperluan operasi Thailand.
Airbus A330 MRTT ialah pesawat tanker dan pengangkut pelbagai peranan yang menawarkan kapasiti bahan api besar, jarak operasi jauh, dan keupayaan pemindahan bahan api udara ke udara (AAR) untuk pelbagai pesawat.
Dilengkapi sistem boom canggih dan probe-drogue, ia menyokong operasi strategik, pemindahan udara perubatan (MEDEVAC), serta pengangkutan logistik berskala besar.
Airbus A330 MRTT dilengkapi dengan dua enjin Rolls-Royce Trent 700 atau General Electric CF6, dengan kelajuan maksimum 880 km/j dan jarak operasi lebih 14,800 km.
KC-135 Stratotanker
Ia membawa 111 tan bahan api tanpa tangki tambahan, menyokong sistem boom AAR dan probe-drogue, serta mampu mengangkut troop, kargo, dan pesakit MEDEVAC.
Boeing KC-46 Pegasus ialah pesawat tanker generasi baharu yang menawarkan keupayaan pemindahan bahan api udara ke udara (AAR) dengan sistem boom fly-by-wire dan probe-drogue, sesuai untuk pelbagai pesawat.
Ia juga berfungsi sebagai pesawat pengangkut dan MEDEVAC, dengan avionik canggih, perlindungan peperangan elektronik, serta keupayaan operasi dalam persekitaran berisiko tinggi.
Dilengkapi dengan dua enjin Pratt & Whitney PW4062, pesawat tanker Boeing KC-46 Pegasus memiliki kelajuan maksimum 915 km/j dan jarak operasi lebih 11,830 km.
Ia berkemampuan membawa 96 tan bahan api, menggunakan sistem boom fly-by-wire dan probe-drogue untuk pemindahan bahan api, serta mampu mengangkut troop, kargo, dan pesakit MEDEVAC dalam operasi strategik.
Boeing KC-135 Stratotanker ialah pesawat tanker udara yang terbukti berkesan dalam operasi pemindahan bahan api sejak 1957.
KC-46 Pegasus
Dilengkapi sistem boom AAR, ia mampu menyokong pesawat tempur dan pengebom strategik. Dengan jarak operasi jauh, keupayaan kargo sederhana, dan ketahanan tinggi, ia kekal relevan dalam misi sokongan udara global.
Boeing KC-135 Stratotanker dilengkapi empat enjin CFM International CFM56 atau Pratt & Whitney TF33, dengan kelajuan maksimum 933 km/j dan jarak operasi sekitar 17,700 km.
Ia membawa 90 tan bahan api, menggunakan sistem boom AAR, serta mampu mengangkut kargo dan troop, menjadikannya pesawat sokongan udara strategik yang tahan lama.