Thailand Berkeras Kapal Selamnya Guna Enjin Jerman, China “Pening Kepala”

Dalam rundingan terbaru, Bangkok tetap berkeras mahukan kapal selam pertamanya yang dibina oleh China itu dilengkapi dengan enjin diesel buatan Jerman sebagaimana dipersetujui dalam kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini dan bukan enjin diesel buatan China.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha Thailand dan China mencari jalan penyelesaian tentang isu “ketiadaan” enjin buatan Jerman untuk kapal selam pertama negara Asia Tenggara itu,  terus menemui jalan buntu selepas kedua-dua pihak bertegas dengan pendirian masing-masing.

Dalam rundingan terbaru, Bangkok tetap berkeras mahukan kapal selam pertamanya yang sedang dibina oleh China itu dilengkapi dengan enjin diesel buatan Jerman sebagaimana dipersetujui dalam kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini.

Bagaimanapun China menerusi syarikatnya, China Shipbuilding and Offshore International Co (CSOC) meminta Tentera Laut Thailand menggantikan enjin diesel buatan Jerman itu dengan enjin diesel buatan tempatan (China) daripada jenis “MWM 620” bagi kapal selam pertamanya itu.

Kapal selam S-26T buatan China yang bakal diperolehi oleh Thailand.

 

CSOC ini adalah syarikat China yang sama membina empat buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia.

Menurut portal berita Bangkok Post, syarikat itu menyatakan bahawa enjin diesel kapal selam buatan tempatan “MWM 620” itu adalah sama standard dan keupayaan dengan enjin diesel “MTU 396” yang dibuat oleh firma Jerman,  MTU Friedrichshafen GmbH.

Tentera Laut Thailand enggan melayan permintaan CSOC itu dan oleh kerana itulah kemelut enjin kapal selam di antara kedua-dua negara itu dijangka berpanjangan dan berkemungkinan melewatkan lagi penghantaran kapal selam pertama Thailand itu.

“Kami tidak mempercayai enjin lain, (kami hanya percaya) enjin buatan Jerman,” menurut satu sumber kepada Bangkok Post.

Kapal selam Type 093 kelas-Shang Tentera Laut China.

 

Kapal selam pertama Thailand buatan China itu dijangka dihantar ke negara Asia Tenggara itu pada 2024, tetapi kemelut enjin diesel itu serta pandemik COVID-19 dijangka melewatkan penghantarannya.

Dalam perjanjian pembelian, CSOC bersetuju membekalkan enjin diesel buatan firma Jerman, MTU untuk digunakan oleh kapal selam pertama Thailand daripada kelas Yuan S-26T.

Bagaimanapun masalah timbul disebabkan sekatan ketenteraan Kesatuan Eropah (EU) terhadap China menyaksikan sebarang penggunaan alatan atau komponen ketenteraan berasal daripada EU oleh China adalah dilarang sama sekali.

Kapal selam kelas Yuan China sebagaimana yang bakal digunakan oleh Thailand.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Sebab itulah syarikat CSOC yang sedang membina kapal selam pertama Thailand itu gagal mendapatkan enjin diesel buatan Jerman, sekaligus menyebabkan terjadinya kemelut enjin kapal selam di antara kedua-dua negara ketika ini.

Komander Tentera Laut Thailand Laksamana Somprasong Nilsamai sebagaimana dipetik oleh Bangkok Post berkata, tiada cara lain bagi China (untuk mengatasi kemelut ini) kecuali mematuhi perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini.

Menurut beliau, tiada perubahan di dalam perjanjian sebelum ini dengan Thailand tetap mahukan kapal selamnya dilengkapi dengan enjin buatan Jerman. — DSA

CSOCfeaturedKapal SelamMTU
Comments (0)
Add Comment