“Kita Mahu Berperang Dgn Siapa,” Kata Pembangkang Thai Tentang Cadangan Beli F-35

Parti pembangkang Thailand, Pheu Thai mempersoalkan kewajaran kerajaan negara itu dalam memperolehi pesawat-pesawat pejuang baru seperti F-35, dengan melontarkan persoalan "Kita Mahu Berperang Dengan Siapa."

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak pembangkang di Thailand akan berusaha untuk mengagalkan Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan oleh kerajaan negara itu tidak lama lagi  dalam usahanya menyekat negara itu daripada memperolehi pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat.

Pemimpin nombor dua parti Pheu Thai Yutthapong Charasathian berkata partinya akan menolak Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha.

“Saya mahu tahu kenapa kita memerlukan pesawat pejuang baru dan kita (Thailand) mahu berperang dengan siapa.”

“Jika soalan ini tidak dijawab oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Thailand, maka parti pembangkang tidak akan menyokong Belanjawan 2023 itu, “ katanya sebagaimana dipetik sebagai berkata oleh akhbar negara ini, Bangkok Post.

Pada ketika ini katanya, Thailand memerlukan duit untuk pembangunan negara manakala rakyat perlu dibantu daripada segi bantuan kewangan berbanding membeli pesawat-pesawat pejuang yang baru.

Pheu Thai merupakan parti pembangkang utama di Thailand dengan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra sebagai pemimpin de facto-nya.

Pada ketika ini, Thaksin dan adik perempuannya, Yingluck yang juga bekas Perdana Menteri Thailand hidup dalam buangan di negara asing selepas melarikan diri daripada negara Asia Tenggara itu.

Pandangan daripada parti pembangkang utama di Thailand itu adalah “lebih kurang sama” dengan pandangan oleh pihak-pihak tertentu di Malaysia yang sering membantah apabila kerajaan mahu memperolehi asset-aset baru untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pandangan-pandangan seperti “Kita hendak berperang dengan siapa” dan “Beli senjata adalah satu pembaziran” dan lain-lain, sering kedengaran apabila terdapat cadangan supaya ATM memperolehi sistem persenjataan yang baru.

Berdepan dengan tekanan politik supaya tidak meneruskan pembelian sistem persenjataan itu, maka kerajaan yang “memerintah atas majoriti yang amat tipis” pun bertindak membatalkan pembelian itu sebagai jalan selamat untuk memastikan ia terus kekal berkuasa.

Apabila negara berhadapan dengan masalah keselamatan yang serius seperti pencerobohan di perairan dan ruang udara di Laut China Selatan dan Sabah, puak-puak yang sama ini jugalah yang akan bangkit mengkritik ATM dan melabel mereka sebagai gagal.

Sebuah pesawat JAS 39 Gripen C/D Tentera Udara Diraja Thailand dengan pesawat AEW “Erieye.”

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

Sementara itu sumber-sumber memberitahu Bangkok Post bahawa Tentera Udara Diraja Thailand memerlukan lapan buah pesawat F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.

Rundingan untuk mendapatkan pesawat itu daripada Amerika Syarikat akan mengambil masa selama dua tahun.

Tentera Udara Diraja Thailand merancang untuk memperolehi tiga buah pesawat F-35 setiap tahun, dengan keseluruhan proses pembelian lapan buah pesawat generasi kelima itu akan mengambil masa selama tujuh tahun. — DSA

 

 

F-35featuredPembangkangThailand