Thailand Lulus RM2.8 Bilion Beli Empat F-35 Joint Strike Fighter. Kita?

Dikala kita masih lagi berkira-kira sama ada hendak membeli pesawat pejuang F/A-18D terpakai daripada Kuwait, negara-negara jiran kita iaitu Singapura dan Thailand telah pun mengorak langkah memperlengkapkan tentera udara mereka dengan pesawat generasi kelima, F-35 Joint Strike Fighter (JSF).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jemaah menteri Thailand hari ini telah meluluskan peruntukan sebanyak US$413.7 juta (RM2.8 bilion) untuk untuk memperolehi empat buah pesawat pejuang baru dipercayai F-35 Joint Strike Fighter.

Proses pembelian empat pesawat pejuang baru itu akan dilaksanakan pada tahun fiskal akan datang.

Kelulusan peruntukan kewangan pembelian empat buah pesawat pejuang baru itu berlaku hanya seminggu selepas Panglima Tentera Udara Thailand Napadej Dhupatemiya menyatakan minat untuk memperolehi lapan buah pesawat generasi kelima F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.

Jurucakap Tentera Udara Thailand Prapas Sornchaidee berkata, jemaah menteri negara itu telah bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan bermula tahun depan untuk membeli empat buah pesawat pejuang bagi menggantikan pesawat F-16 yang digunakan oleh negara itu.

Pada ketika ini, Tentera Udara Thailand mengoperasikan sebanyak 12 buah pesawat pejuang Gripen C/D yang diperolehinya daripada Sweden serta puluhan pesawat F-16 dan F-5E yang telah dgunakannnya sejak akhir tahun-tahun 1980-an.

Sebelum ini, Panglima Tentera Udara Thailand menyatakan minat untuk memperolehi F-35 berikutan harga per-unit pesawat generasi kelima yang semakin berkurangan di pasaran sejak ia mula diperkenalkan.

Ketika mula-mula memasuki pasaran pada 2007, harga per-unit bagi pesawat F-35A itu adalah di sekitar US$220 juta tetapi apabila lebih banyak negara memperolehi pesawat itu, harga per-unitnya telah berkurangan kepada hanya US$79 juta pada ketika ini.

Walaupun telah menyatakan minat untuk memperolehi pesawat F-35 itu, tetapi jurucakap tentera udaranya Thailand itu masih enggan mengesahkan jenis pesawat yang bakal diperolehinya menerusi peruntukkan yang diluluskan itu.

Klik Di Bawah Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Menurut Panglima Tentera Udara Thailand, negara itu memerlukan pesawat-pesawat baru untuk menggantikan pesawat-pesawat F-16 dan F-5E yang telah berusia dan telah berkhidmat dengan negara itu selama lebih tiga dekad.

Katanya, apabila usia pesawat semakin meningkat maka kos penyelenggarannya semakin meningkat, selain risiko terhadap juruterbang.

“Dengan rundingan antara kedua-dua pihak (Thailand dengan Lockheed Martin) harga per-unit pesawat F-35 boleh diturunkan lagi kepada lebih US$70juta sebuah,” kata Panglima Tentera Udara Thailand itu.

Tentera Udara Thailand mahu menggandingkan pesawat F-35 yang mahu dimilikinya dengan pesawat tanpa pemandu seperti Boeing Loyal Wingman yang sedang dibangunkan oleh syarikat itu bersama-sama Tentera Udara Australia pada ketika ini.

Pesawat-pesawat pejuang F-35 itu akan beroperasi daripada pangkalan tentera udara Thailand di Nakhon Ratchasima yang terletak di tengah-tengah Thailand.

Jika hasrat Thailand untuk memiliki pesawat F-35 itu berjaya direalisasikan, ia akan menyertai Singapura sebagai pengguna pesawat generasi kelima itu di Asia Tenggara.

Pada 2019-2020 Singapura memperolehi 12 buah pesawat F-35B (short take-off vertical landing – STOVL), dengan pesawat pertama dijangka diperolehi oleh tentera udara republik itu pada tahun 2026. — DSA

Pesawat Tanpa Pemandu “Loyal Wingman” yang dibangunkan oleh Boeing.
F-35featuredLockheed MartinSingapuraThailand
Comments (0)
Add Comment