(DEFENCE SECURITY ASIA) — Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia akan mengerahkan sistem pertahanan udara, Terminal High Altitude Area Defence (THAAD) dan tambahan bateri sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot ke Timur Tengah, ketika peningkatan risiko konflik Hamas-Israel itu bakal merebak melibatkan beberapa negara lain.
Amerika Syarikat dan sekutunya di Timur Tengah terutamanya, Israel bimbang konflik di antara Hamas-Israel itu bakal melibatkan Iran dan kumpulan-kumpulan bersenjata yang merupakan proksinya seperti Hezbollah di Lubnan.
Menurut kenyataan oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin, sistem pertahanan udara THAAD dan Patriot itu akan ditempatkan di “beberapa lokasi” di Timur Tengah.
Selain itu menurutnya, anggota tentera tambahan tentera Amerika Syarikat juga telah diletakkan arahan supaya bersiap-sedia untuk dikerah bertugas di Timur Tengah, namun ia tidak menyatakan lokasi sebenar penempatan anggota tentera itu.
Pada ketika ini, Washington telah pun mengerah dua buah kapal pengangkut pesawat, USS Gerald R.Ford dan USS Dwight D-Eisenhower, kapal-kapal pengiring serta lebih 2,000 anggota tentera Marin ke rantau yang sedang tegang itu.
Sistem pertahanan udara THAAD dan Patriot merupakan sistem yang paling berkesan dimiliki oleh Amerika Syarikat untuk menangani serangan peluru berpandu ballistik pihak musuh terhadap kepentingan negara itu dan sekutunya di Timur Tengah.
THAAD merupakan sistem pertahanan peluru berpandu yang dibangunkan untuk menembak jatuh peluru berpandu balistik jarak, sederhana dan jauh ketika ia masih di dalam penerbangan (mid-course), dengan jarak operasi sejauh 200km dan altitude sehingga 150km.
Apa yang dibimbangi oleh “musuh-musuh” Amerika tentang sistem pertahanan udara THAAD adalah radar berkuasa tinggi X-Band AN/TPY-2 yang digunakan oleh sistem itu.
Sistem radar yang digunakan oleh THAAD berkemampuan tinggi, dengan jarak pengesanan pelancaran peluru berpandu balistik adalah di antara 1,500km hingga 2,000km.
Negara-negara di Timur Tengah bimbang kerana sekiranya radar milik THAAD itu dihalakan ke arahnya, ia boleh mengesan sebarang bentuk pelancaran peluru berpandu balistik oleh negara itu atau memantau segala aktiviti ketenteraan negara itu.
Radar berkuasa tinggi THAAD itu berkemampuan secara tidak langsung mengawasi sebahagian besar aktiviti tentera negara serantau.
Sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot terdiri daripada enam komponen iaitu peluru berpandu itu sendiri, sistem pelancar, radar, stesen kawalan, unit kuasa dan antenna frekuensi tinggi.
Sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot menggunakan peluru berpandu PAC-2 itu boleh memusnahkan sasaran udara termasuk peluru berpandu ballistik sejauh 160km manakala jika ia menggunakan peluru berpandu PAC-3 pula boleh membedil sasaran sejauh 40km.
Center for Strategic and International Studies (CSIS) menganggarkan setiap bateri sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot bernilai US$1.1 bilion (RM4.95 bilion).
Setiap sebuah peluru berpandu sistem pertahanan udara Patriot itu dianggarkan bernilai US$4.1 juta (RM18.45 juta). — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com