(TERKINI) KD Pendekar Telah Tenggelam Sepenuhnya – TLDM

(TERKINI) Kapal serang laju milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berusia 45 tahun, KD Pendekar telah tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang ini, menurut kenyataan rasmi daripada TLDM malam ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kapal serang laju milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berusia 45 tahun, KD Pendekar telah tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang ini, menurut kenyataan rasmi daripada TLDM malam ini.

Usaha menyelamatkan kapal melalui operasi salvaj masih dalam proses pelaksanaan.

Usaha pantas komuniti maritim telah berjaya menyelamatkan kesemua kru KD Pendekar seramai 39 orang sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Johor. Aset TLDM ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa dan keselamatan persekitaran,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik  Markas Tentera Laut, TLDM.

Orang awam katanya, dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat insiden yang tidak sah dan segala perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui sumber rasmi TLDM.

Sebelum tenggelam sepenuhnya. (kredit media sosial)

 

Dalam kenyataan sebelum ini, TLDM berkata, KD Pendekar telah mengalami kebocoran dan kebanjiran besar pada jam 12.00 tengah hari ini di posisi dua Batu Nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor ketika sedang bertugas.

Kebocoran tersebut menurut TLDM, dipercayai berpunca apabila kapal perang berusia 45 tahun itu terlanggar objek bawah air.

“Kebocoran yang mula dikesan di Bilik Jentera kapal telah merebak dengan cepat dan tidak terkawal.

“Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya,” menurut kenyataan TLDM.

TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenalpasti punca kejadian dan pada masa yang sama merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden.

KD Pendekar

 

Antara agensi yang bertindak pantas memberikan bantuan adalah Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim yang berada di persekitaran. Turut dilihat berada di lokasi insiden sebuah bot pihak berkuasa Singapura.

Kapal KD Pendekar dengan nombor penant-nya 3513 telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 21 Ogos 1979, sekaligus menjadikan kapal serang laju itu berusia 45 tahun pada tahun ini. — DSA

 

featuredKapalKD PendekarTLDM
Comments (1)
Add Comment