(VIDEO) Tentera Laut Pakistan Operasikan Kapal Pengintip Pertamanya, PNS Rizwan

(VIDEO) Selain bertindak sebagai kapal pengintip, PNS Rizwan itu juga beroperasi sebagai kapal yang mengumpul data-data pelancaran peluru berpandu ballistik terutama melibatkan negara-negara yang menjadi perhatiannya seperti India dan Iran.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tanpa sebarang publisiti dan laporan oleh media, Tentera Laut Pakistan dilaporkan telah memperolehi kapal pengintipnya yang pertama,  dinamakan “PNS Rizwan” yang diperolehi daripada sekutu rapat dan pembekal senjata utamanya, China.

Pengoperasian PNS Rizwan oleh Tentera Laut Pakistan itu telah dilaporkan oleh pemerhati OSINT (Open Source Intelligence) yang memantau kewujudkan kapal itu menerusi imej-imej satelit serta pergerakannya.

Penjejak pergerakan kapal-kapal online, Marine Traffic mengklasifikasi PNS Rizwan sebagai kapal bekalan luar pantai (offshore supply ship).

Pakistan dilaporkan memperolehi kapal pengintip itu daripada China pada tahun lepas dan kewujudannya dikenalpasti apabila ia melakukan persinggahan di sebuah pelabuhan di Indonesia pada Jun tahun lepas.

Sebelum tiba di Indonesia, kapal itu dipercayai berada di kawasan pesisir pantai Fujian, yang menempatkan antara limbungan kapal milik negara itu yang paling awal.

Walaupun kapal itu milik Pakistan tetapi pemerhati percaya bahawa China turut membantu Islamabad dalam mengoperasikan kapal itu bagi membolehkan mereka memperolehi seberapa banyak maklumat perisikan tentang perkara tertentu.

Selain bertindak sebagai kapal pengintip, PNS Rizwan itu juga beroperasi sebagai kapal yang mengumpul data-data pelancaran peluru berpandu ballistik terutama melibatkan negara-negara yang menjadi perhatiannya seperti India dan Iran.

Memiliki panjang keseluruhan 87 meter, kapal pengintip milik Pakistan itu dilengkapi tiga radome besar dipercayai menempatkan radar-radar berkuasa tinggi serta pelbagai sensor yang lain di kesemua sudut kapal itu untuk tujuan mencerap pelbagai data dan maklumat perisikan.

Portal berita antarabangsa, Defense News menyatakan bahawa Tentera Laut Pakistan mahupun Kementerian Pertahanan negara itu enggan mengulas lebih lanjut kapal PNS Rizwan itu dan kemampuannya apabila ditanya.

Bagaimanapun sumber memberitahu bahawa PNS Rizwan merupakan kapal pengumpul maklumat perisikan (intelligence gathering ship).

Walau apapun, kewujudan kapal pengintip PNS Rizwan milik Tentera Laut Pakistan itu telah meletakkan negara Asia Timur itu sebaris dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat, Russia, Perancis, United Kingdom, China dan India sebagai negara yang memiliki kapal pengintip sedemikian.

Pemerhati OSINT Symon itu mengatakan bahawa permodenan tentera laut Pakistan itu disokong oleh China selari dengan kepentingan strategiknya di Lautan Hindi dan usaha untuk meningkatkan kemampuan sekutunya (Pakistan) yang penting,” kata beliau.

Selain Pakistan, India turut memiliki kapal pengintipnya tersendiri INS Dhruv yang dibina oleh syarikat Hindustan Shipyard hasil kerjasama dengan Defence Research and Development Organisation (DRDO) dan badan perisikan India, National Technical Research Organisation (NTRO).

Kapal-kapal seperti PNS Rizwan dan INS Dhruv boleh memainkan peranan seperti platform amaran awal terhadap pelancaran peluru-peluru berpandu terutamanya peluru berpandu nuklear dan mengumpul maklumat dan data Electronic Intelligence (ELINT) serta Signal Intelligence (SIGINT). — DSA

featuredPakistanPengintipPNS Rizwan
Comments (0)
Add Comment