Tentera Darat Indonesia Minat Peroleh Sistem Meriam Bergerak NORA-B52 155mm Buatan Serbia

Minat Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI AD) terhadap sistem meriam bergerak NORA-B52 155mm buatan Serbia itu adalah hasil susulan pemeteraian kerjaasama pertahanan di antara Indonesia dan Serbia baru-baru ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Darat Indonesia dilapor menunjukkan minat kepada sistem meriam bergerak NORA-B52 155mm buatan Serbia, bagi menambah pegangan sistem meriam bergerak CAESAR yang sudah dimilikinya pada ketika ini.
Sistem meriam bergerak NORA-B52 155mm dibangunkan oleh Yugoimport SDPR, sebuah syarikat pertahanan milik kerajaan Serbia.
Minat tentera darat negara jiran terhadap sistem meriam bergerak NORA-B52 155mm buatan Serbia itu adalah hasil susulan pemeteraian kerjaasama pertahanan di antara Indonesia dan Serbia baru-baru ini.
Pemeteraian kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara  itu juga bakal melihat Indonesia beberapa sistem pertahanan lain yang diperbuat oleh syarikat-syarikat pertahanan Serbia, yang sememangnya terkenal dengan penghasilan produk berkualiti tinggi.
Laporan media daripada negara jiran bagaimanapun tidak mendedahkan berapa unit sistem meriam bergerak itu NORA-B52 155mm yang bakal diperolehi.
Pada ketika ini, Indonesia memiliki 55 unit sistem meriam bergerak CAESAR 155 mm buatan Perancis.
NORA-B52 155mm
Meriam-meriam bergerak CAESAR ini ditempatkan di satuan Artileri Medan (Armed) TNI-Angkatan Darat untuk memperkuat kemampuan tempur mereka.
CAESAR (Camion Équipé d’un Système d’Artillerie) adalah sistem meriam bergerak dengan kaliber 155 mm yang boleh membedil sasaran sejauh 39km.
Sistem meriam bergerak CAESAR dibangunkan oleh Nexter Systems daripada Perancis.
Bagi sistem meriam bergerak NORA-B52 155mm yang dibangunkan oleh Yugoimport SDPR, ia menggunakan trak beroda 8×8 bagi memberikan kemampuan mobiliti yang tinggi, terutama di medan pertempuran.
Ia menggunakan meriam kaliber 155mm yang boleh membedil sasaran sejauh hingga 40–50 km, bergantung kepada jenis peluru yang digunakan.
Sistem meriam bergerak buatan Serbia itu dibangunkan untuk dapat bergerak dengan cepat setelah melakukan beberapa tembakan, bagi mengelak daripada dikesan oleh musuh dan serangan susulan.
Sistem meriam bergerak NORA-B52 155mm ini dilengkapi dengan sistem kawalan tembakan yang  moden, termasuk peralatan navigasi GPS dan komputer ballistik untuk meningkatkan ketepatan tembakannya.
Ia digunakan untuk menyokong operasi artileri medan dalam misi untuk memusnahkan sasaran musuh, memberikan tembakan perlindungan dan penguasaan medan tempur.

Antara kelebihan utama sistem meriam bergerak NORA-B52 155mm buatan Yugoimport SDPR adalah pergerakannya dan penempatan di medan yang cepat, jangkauan tembakannya yang jauh dan kemampuan di medan dengan platform beroda.
Beberapa negara telah mengiktiraf kelebihan sistem meriam bergerak NORA-B52 155mm dan bertindak mengintegrasikannya ke dalam angkatan tentera mereka.
Antara negara yang menggunakan sistem meriam bergerak buatan Serbia ini termasuk Cyprus, Algeria, Kenya, Azerbaijan, Bangladesh, dan Myanmar.
Sekiranya minat Indonesia itu benar-benar menjadi kenyataan, maka sistem meriam bergerak NORA B-52 155mm akan menjadi komponen penting dalam usaha pemodenan artileri Indonesia dengan ketara, terutamanya dalam meningkatkan keupayaan tembakan jarak jauh dan fleksibiliti operasi dalam persekitaran yang mencabar. — DSA
IndonesiaNORA-B52 155mmSerbiaYugoimport
Comments (0)
Add Comment