(VIDEO) Tentera Darat Filipina Laksana Ujian Penembakan Meriam Bergerak ATMOS 155mm

(VIDEO) Tentera darat Filipina itu mula menerima meriam-meriam bergerak buatan Israel itu pada akhir tahun 2021. Perolehan sistem SPH ATMOS 155mm/52cal daripada syarikat Israel, Elbit Systems Land itu mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan yang sedia erat di antara Filipina dan Israel. 

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Darat Filipina telah melaksanakan latihan penembakan peluru hidup menggunakan sistem meriam bergerak (self propelled howitzer) “ATMOS” 155mm 52 cal yang diperolehinya daripada syarikat pertahanan Israel, Elbit Systems Land.

Latihan penembakan peluru hidup menggunakan sistem SPH ATMOS 155mm 52 cal itu adalah sebahagian daripada latihan “Katihan” Combined Arms Training yang berlangsung di Kem O’Donnel baru-baru ini.

Tentera darat Filipina itu mula menerima meriam-meriam bergerak buatan Israel itu pada akhir tahun 2021.

Perolehan sistem SPH ATMOS 155mm/52cal daripada syarikat Israel, Elbit Systems Land itu mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan yang sedia erat di antara Filipina dan Israel. 

Filipina telah menandatangani perjanjian dengan Israel untuk memperolehi di antara 12-15 meriam bergerak beroda jenis Soltam ATMOS 15mm 52 cal dibawah program pemodenan angkatan tentera Filipina dipanggil Horizon 2 bernilai RM211 juta (US$47 juta).

Sistem SPH Soltam ATMOS 155mm 52 cal itu telah dibangunkan oleh anak syarikat Elbit Systems Land iaitu Soltam Systems, satu nama yang lama dan kukuh dalam pembuatan meriam dan sistem mortar daripada Israel.

Meriam Soltam ATMOS 155mm 52 cal dengan berat keseluruhan 23,000kg itu mampu menembak sasaran daripada jarak sejauh 41km menggunakan projektil jenis “Extended Range Full Bore Base Bleed (ERFB-BB)”, manakala sistem SPH buatan Israel itu boleh dioperasikan oleh krew di antara empat hingga enam orang (termasuk dua loaders).

Di dalam kes Filipina, sistem SPH Soltam ATMOS  155mm 52 cal itu menggunakan trak MAN, memandangkan kenderaan itu mudah didapati di Filipina.

 Sistem SPH pertama Soltam ATMOS 155mm 52 cal milik tentera darat Filipina itu telah dioperasikan oleh 10th Field Artillery Battalion yang juga diberikan nama “Rolling Thunder.

Tentera Darat Thailand turut menggunakan sistem SPH Soltam ATMOS 155mm 39 cal.

“ATMOS”

 

Selain tentera darat Filipina, sistem SPH Soltam ATMOS 155mm 52 Cal itu turut digunakan oleh Azerbaijan, Botswana, Denmark, Cameroon, Colombia, Uganda dan Zambia.

Selain itu tentera darat Filipina turut memperolehi kenderaan mortar bergerak “M113 Armored Mortar Carrier” yang menggunakan Soltam CARDOM recoil mortar system.

 Pada 2019, Filipina turut menandatangani perjanjian dengan syarikat Elbit itu untuk memperolehi sejumlah 15 buah sistem mortar bergerak itu yang menggunakan mortar berkaliber 120mm.

Perjanjian untuk sistem mortar bergerak itu turut meliputi perolehan Combat NG Battle Management System oleh Elbit dianggarkan bernilai RM80 juta.

Sistem mortar CARDOM 81mm yang digunakan oleh Tentera Filipina.

 

Angkatan Tentera Filipina merupakan diantara pelanggan utama bagi sistem pertahanan Israel di rantau Asia Tenggara ini dengan kesemua cabang angkatan tenteranya menggunakan pelbagai peralatan yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat pertahanan Israel.

Penasihat-penasihat ketenteraan Israel juga bergerak aktif memberikan latihan kepada unit-unit tentera dan keselamatan Filipina termasuk kepada pasukan-pasukan khusus negara itu. — DSA

ATMOSfeaturedFilipinaIsrael
Comments (0)
Add Comment