“Tejas” Bawa Peluru Berpandu Bunker Buster “HAMMER”

Pesawat-pesawat pejuang ringan "Tejas" semakin bertaring selepas dilengkapkan dengan peluru berpandu Bunker Buster dipanggil "HAMMER" (Highly Agile Modular Munition Extended Range) khusus untuk membedil kubu-kubu pertahanan musuh.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – India dilaporkan telah membeli ratusan peluru berpandu Bunker Buster dipanggil “HAMMER” (Highly Agile Modular Munition Extended Range) keluaran syarikat pertahanan Perancis bagi melengkapkan skuadron pesawat pejuang ringan “Tejas” miliknya.

India berharap dengan melengkapkan pesawat-pesawat “Tejas” miliknya dengan peluru berpandu “HAMMER” itu akan memberikan keupayaan kepada pesawat pejuang ringannya itu untuk membedil kubu-kubu pertahanan (bunker) atau “hardened shelters” pihak musuh daripada jarak sejauh 70km.

 “Kemampuan untuk memusnahkan kubu-kubu musuh itu akan membolehkan pesawat pejuang yang dibangunkan oleh industri pertahanan tempatan itu keupayaan untuk melaksanakan misi-misi serangan tepat (precision strike) terhadap kedudukan musuh,” kata seorang pegawai tinggi kerajaan kepada akhbar India Today baru-baru ini.

Pembelian peluru berpandu “HAMMER” untuk melengkapkan dua skuadron pesawat LCA “Tejas” itu dilakukan di bawah peruntukan kecemasan berikutan keadaan yang semakin genting di kawasan Ladakh Timur akibat peseteruannya dengan China.

Peluru berpandu itu terlebih dahulu telah pun melengkapkan pesawat pejuang Rafale yang baru sahaja diperolehi oleh India daripada Perancis dan kini New Delhi mengambil keputusan untuk melengkapkan pesawat-pesawat pejuang “Tejas” dengan peluru berpandu itu.

Peluru berpandu HAMMER

 

Sasaran utamanya adalah kubu-kubu pertahanan milik tentera China di kawasan sempadan yang dipertikaikan pemilikannya di utara negara itu.

“Peluru-peluru berpandu HAMMER daripada Perancis itu akan meningkatkan keupayaan kita untuk memusnahkan sasaran-sasaran yang terletak di kawasan beraltitud tinggi seperti yang terdapat di Ladakh Timur,” menurut seorang pegawai tinggi kerajaan India.

Pihak tentera India telah diberikan kuasa kecemasan untuk bertindak terhadap peningkatan aset-aset tentera China di kawasan sempadannya dengan India.

Pada ketika ini Tentera Udara India memiliki dua buah skuadron pesawat pejuang ringan “Tejas” dan bilangan skuadron pesawat pejuang ringan yang dibangunkan oleh syarikat Hindustan Aeronautics Limited (HAL) akan bertambah kepada empat dalam tempoh beberapa tahun ini.

Pesawat Tejas keluaran HAL India.

 

India membangunkan pesawat pejuang ringan “Tejas” untuk menggantikan skuadron-skuadron pesawat pejuang “MiG-21” yang telah berusia.

India turut menawarkan pesawat “Tejas” itu kepada Malaysia yang sedang mencari sejumlah 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pesawat pejuang “Tejas” adalah jauh lebih baik daripada pesawat pejuang J-17 “Thunder” yang digunakan oleh Tentera Udara China serta Tentera Udara Pakistan, menurut seorang lagi sumber kepada akhbar India Today itu.

Peluru berpandu “HAMMER”

 

“HAMMER” itu adalah peluru berpandu udara-ke-darat jarak sederhana yang telah dibangunkan oleh syarikat Sagem untuk kegunaan Tentera Udara dan Tentera Laut Perancis.

Peluru berpandu tersebut mula membuat penampilannya kepada khalayak ramai seawal pada tahun 2007.

Sebuah pesawat pejuang Rafale boleh membawa sehingga enam buah peluru berpandu “HAMMER.”

Pihak Tentera Perancis telah menggunakan peluru berpandu “HAMMER” ini sejak 2008 dalam beberapa misi di Afghanistan, Libya dan Mali.

Pesawat Rafale dengan peluru berpandu Hammer.

 

Selain Perancis dan India yang menggunakan peluru berpandu itu, Tentera Udara Mesir dan Tentera Udara Qatar turut melengkapkan pesawat-pesawat pejuang Rafale mereka dengan peluru berpandu “HAMMER” itu.

Peluru berpandu itu mempunyai berat 330 kg dan jarak sejauh 70km, selain kemampuan “fire and forget” serta kemampuan “stand-off”.   

Bukan sahaja peluru berpandu “HAMMER” itu adalah untuk misi-misi udara-ke-darat tetapi juga untuk misi-misi maritime strike capability dan SEAD (Suppression of Enemy Air Defence).

— DEFENCE SECURITY ASIA

Bunker BusterfeaturedHALHAMMERSagemTejas
Comments (0)
Add Comment