Selepas Kecewa Di Malaysia, Tejas Mungkin Kecundang Lagi Di Argentina, Mesir

Selepas “kecundang” di Malaysia, pesawat pejuang kebanggaan industri pertahanan India, “Tejas” berkemungkinan besar akan menerima nasib yang sama di Mesir dan Argentina yang sedang mencari pesawat pejuang ringan untuk tentera udara masing-masing.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas “kecundang” di Malaysia, pesawat pejuang kebanggaan industri pertahanan India “Tejas” berkemungkinan besar bakal menerima nasib yang sama di Mesir dan Argentina yang sedang mencari pesawat pejuang ringan untuk tentera udara masing-masing.

Tejas yang dibangunkan oleh Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) berkemungkinan terpaksa menunggu masa lebih lama untuk mencari pasaran eksportnya yang pertama.

Untuk pasaran Argentina, Tejas sedang bersaing rapat dengan JF-17 dan F-16  manakala bagi Mesir pula, pesawat pejuang keluaran HAL itu sedang bersaing dengan FA-50, yang telah mengalahkannya dalam beberapa persaingan termasuk terkini di Malaysia.

Aksi pesawat “Tejas” pada Singapore Air Show 2022.

 

Pada 24 Februari yang lalu, KAI telah menandatangani perjanjian dengan Kementerian Pertahanan berkenaan penjualan 18 buah pesawat FA-50 Block 20 dianggarkan bernilai lebih RM4 bilion.

Nasib malang Tejas mungkin berpanjangan selepas “kekecewaan” di Malaysia kerana kerajaan di Buenos Aires kini dikatakan condong untuk memilih pesawat pejuang ringan JF-17 yang dibangunkan secara bersama oleh China dan Pakistan, sekaligus menolak Tejas.

Argentina ditawarkan JF-17 Block 3 yang merupakan varian terkini pesawat pejuang ringan itu, dilengkapkan dengan komponen dan sistem persenjataan terkini termasuk radar AESA (Active Electronically Scanned Array) dan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) buatan China.

Duta Argentina ke China dilaporkan telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan negara Amerika Selatan itu baru-baru ini berkenaan pakej penjualan menarik yang ditawarkan oleh Beijing itu.

Pakej penjualan itu termasuklah kereta-kereta perisai 8×8 yang dibangunkan oleh China North Industries Corp (NORINCO) untuk memenuhi keperluan Angkatan Tentera Argentina.

Pesawat JF-17 Tentera Udara Pakistan

 

HAL dan pegawai-pegawai kanan kerajaan India juga mengadakan rundingan dengan Argentina berkenaan penjualan pesawat pejuang Tejas itu.

Jika Argentina benar-benar memilih JF-17, maka secara langsung akan memberikan peluang kepada Beijing untuk meluaskan pengaruhnya di Amerika Selatan.

China juga menyokong tuntutan Buenos Aires terhadap Pulau Falklands (Malvinas) yang kini diduduki oleh Britain.

Disebabkan bimbang akan perluasan pengaruh China di Amerika Selatan sekiranya pesawat JF-17 dipilih oleh Argentina, Amerika Syarikat sedang berunding dengan Denmark dan Britain untuk membenarkan penjualan pesawat F-16A/B kepada Buenos Aires.

Pesawat-pesawat F-16A/B itu adalah milik Denmark.

Pesawat F-16 Denmark

 

Argentina dikatakan tidak berminat dengan pesawat pejuang terpakai F-16 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat dan kini condong untuk memilih JF-17 Block 3 sebagai pesawat pejuang pilihannya.

Manakala di Mesir pula, walaupun berhadapan dengan usaha dan promosi agresif daripada HAL dan kerajaan India yang menawarkan Tejas, namun Kaherah nampak semakin hari semakin pasti akan memilih FA-50 sebagai pesawat pilihannya.

Impian Korea Aerospace Industries (KAI) untuk melebar sayapnya ke benua Afrika menerusi pesawat FA-50 itu semakin hampir menjadi kenyataan selepas ia  menandatangani perjanjian dengan Arab Organisation for Industrialisation (AOI) di Kaherah untuk membuat pesawat latihan lanjutan.

Jika Mesir memilih pesawat FA-50/T-50,dimana keputusan dijangka dibuat pada tahun ini, maka ia bakal menjadi negara Afrika pertama membeli pesawat pejuang keluaran Korea Selatan.

KAI sememangnya mahu menjadikan Mesir sebagai batu loncatan untuk menjual lebih banyak pesawat FA-50/T-50 kepada negara-negara di benua Afrika, sekaligus memperluaskan pasarannya untuk produk-produknya yang lain.

Pesawat FA-50

 

FA-50 merupakan varian pesawat pejuang ringan manakala varian bagi pesawat latihan lanjutan (Fighter Lead-In Trainer) pula dikenali sebagai T-50.

Menurut pengerusi AOI Mukhtar Abdel Latif, perjanjian itu mensasarkan untuk membina pesawat latihan yang akan digunakan oleh tentera udara Mesir serta dieksport kepada negara-negara di Arab dan Afrika.

KAI mensasarkan untuk menjual kira-kira 100 buah pesawat FA-50/T-50 kepada Mesir. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

FA-50featuredJF-17MalaysiaMesirTejasTUDM