Russia Terus Gunakan Tayar Buruk Lindungi Pesawatnya Dari Serangan Dron Ukraine

Seperti apa yang berlaku pada pesawat pengebom Tu-95 "Bear" dan Tu-160 "Blackjack" sebelum ini, krew-krew pesawat pejuang Su-34 "Fullback" Tentera Udara Russia itu juga percaya bahawa tayar-tayar buruk itu dapat “menyelamatkan” pesawat pejuang mereka daripada musnah akibat serangan dron berani mati Ukraine.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Beberapa hari lepas, dunia ketenteraan digemparkan dengan solusi luar kotak Russia yang meletakkan deretan tayar-tayar buruk di atas pesawat pengebom Tu-95 “Bear” dan Tu-160 “Blackjack” di salah sebuah pangkalan udara negara itu bagi mengelak ia menjadi mangsa kepada serangan dron-dron berani mati Ukraine.

Imej-imej satelit menunjukkan deretan tayar-tayar buruk itu diletakkan di atas pesawat-pesawat pengebom strategik Tentera Udara Russia yang berada di pangkalan udara Engels yang terletak di wilayah Saratov, kira-kira 700km daripada sempadan Russia-Ukraine.

Pesawat-pesawat pengebom strategik Tu-95 dan Tu-160 di Pangkalan Udara Engels digunakan dalam kempen serangan udara terhadap Ukraine.

Tayar di atas pesawat pengebom Tu-95 Russia.

 

Tentera Russia tampil dengan solusi luar kotak sementara menggunakan tayar-tayar buruk itu selepas pangkalan udaranya di Pskov diserang dengan dron-dron berani mati Ukraine, mengakibatkan empat pesawat pengangkutnya musnah.

Kini, solusi luar kotak itu berjangkit apabila krew-krew pesawat pejuang Su-34 “Fullback” Russia di salah sebuah pangkalan udara tidak didedahkan, turut menggunakan kaedah yang sama dengan meletakkan deretan tayar-tayar buruk di atas pesawat pejuang itu.

Malah pod sistem peperangan elektronik (EW) di sayap pesawat pejuang itu turut menerima “kalungan” tayar buruk sebagai perlindungan daripada serangan dron Ukraine itu.

Pesawat pejuang Su-34 “Fullback” adalah aset utama Tentera Udara Russia dalam kempen ketenteraan negara itu di Ukraine.

Seperti apa yang berlaku pada pesawat pengebom Tu-95 dan Tu-160, krew-krew pesawat pejuang Su-34 “Fullback” Tentera Udara Russia itu juga percaya bahawa tayar-tayar buruk itu dapat “menyelamatkan” pesawat pejuang mereka daripada musnah akibat serangan dron berani mati Kiev.

Pod sistem EW Su-34 turut dilindungi dengan tayar buruk.

 

Menurut pemerhati ketenteraan Russia, tindakan meletakkan deretan tayar-tayar buruk di atas pesawat kombat itu adalah solusi jangka pendek terhadap masalah serangan dron-dron berani mati Ukraine yang semakin “menjadi-jadi” akhir-akhir ini.

Mereka percaya pihak tentera Russia sedang merangka solusi jangka panjang untuk memastikan serangan dron berani mati Ukraine itu tidak mampu memusnahkan pesawat-pesawat kombat mereka yang berada di pangkalan-pangkalan udara.  

Dron-dron berani mati Ukraine kini terbang lebih jauh untuk memasuki lebih di dalam untuk mensasarkan pangkalan-pangkalan udara yang menempatkan pesawat pengebom dan pejuang yang digunakan dalam serangan udara terhadap Ukraine.

Apa sebenarnya yang diharapkan oleh Russia dengan meletakkan tayar-tayar buruk di atas pesawat pengebom dan pejuangnya?

Menurut pemerhati ketenteraan Russia, tentera negara itu berharap tayar-tayar yang diletakkan di beberapa bahagian pesawat dapat menyerap kesan letupan dron-dron berani mati Ukraine itu.

Bagaimanapun pemerhati pertahanan antarabangsa mempersoalkan sama ada tindakan meletakkan tayar-tayar di atas pesawat Russia itu merupakan langkah yang berkesan untuk melindunginya daripada sebarang kerosakan berpunca daripada serangan dron Ukraine.

Mereka menyatakan tidak semua bahagian pesawat tentera Russia itu dilindungi dengan tayar-tayar, manakala, dron-dron berani mati Ukraine itu masih lagi boleh dipandu untuk meletup di bawah pesawat yang tidak dilindungi oleh tayar-tayar.

Selain itu mereka juga menyatakan bahawa tayar-tayar itu adalah bahan yang mudah terbakar dan boleh memburukkan kebakaran jika letupan dron-dron itu menyebabkan kebakaran terhadap pesawat itu. –DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

DronfeaturedRussiaSeranganTayarUkraine