Jerman Enggan Beri Peluru Berpandu Kruis “Taurus” Pada Ukraine

Media-media Jerman menyatakan kebimbangan utama Canselor Jerman itu sekiranya membekalkan peluru berpandu Taurus itu kepada Ukraine adalah negara itu juga perlu membekalkan maklumat-maklumat Geo-Data berkenaan sasaran-sasaran Russia kepada pihak tentera Ukraine, sekaligus menjerumuskan Jerman kepada konflik Jerman-Russia secara langsung.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jerman memutuskan untuk tidak membekalkan peluru berpandu kruis “Taurus” kepada Ukraine kerana bimbang penghantaran peluru berpandu yang amat dikehendaki oleh Kiev itu boleh memarakkan lagi konflik di antara Ukraine dan Russia.

Bercakap kepada media Jerman, Canselor Olaf Scholz menyatakan bahawa keputusan sama ada negara Eropah itu akan membenarkan penghantaran peluru berpandu kruis itu kepada Ukraine memerlukan kajian yang lebih mendalam.

Beliau juga bercakap bahawa keputusan tentang peluru berpandu kruis “Taurus” itu turut menyentuh tentang perlembagaan negara itu.

“Keputusan mengenai (peluru berpandu kruis) Taurus itu memerlukan pertimbangan kerana kita perlu memastikan ia (penghantaran peluru berpandu itu) tidak memarakkan lagi peperangan (di antara Russia dan Ukraine) dan Jerman tidak terjebak dalam peperangan itu sendiri.”

“Itu adalah tanggungjawab saya sebagai canselor untuk berbuat demikian,” kata pemimpin Jerman itu apabila ditanya oleh media baru-baru ini.

“Taurus”

 

Media-media Jerman menyatakan kebimbangan utama Canselor Jerman itu sekiranya membekalkan peluru berpandu Taurus itu kepada Ukraine adalah negara itu juga perlu membekalkan maklumat-maklumat Geo-Data berkenaan sasaran-sasaran Russia kepada pihak tentera Ukraine.

Sekiranya Jerman berbuat demikian dengan membekalkan maklumat-maklumat Geo-Data sasaran Russia kepada pihak Ukraine, maka, ia bermakna bahawa Jerman mengambil peranan yang lebih aktif dalam peperangan itu.

Canselor Jerman itu bimbang pihak tentera Ukraine akan menggunakan peluru berpandu kruis itu untuk menyerang jambatan Kerch yang menghubungkan Semenanjung Crimea dengan Russia.

Peluru berpandu kruis “Taurus” yang dibangunkan oleh syarikat Jerman, MBDA dan Saab daripada Sweden itu berkemampuan membedil sasaran dengan tepat sejauh 500km hingga 600km.

“Peluru berpandu “Taurus” itu boleh membantu tentera Ukraine menangani rintangan lapangan periuk api  ditabur oleh tentera Russia yang menyukarkan kemaraan tentera Kiev,” kata beliau.

Ukraine dan beberapa negara Eropah terutamanya Britain telah memberikan tekanan kepada Jerman supaya membenarkan penghantaran peluru berpandu kruis “Taurus” kepada negara itu secepat mungkin bagi membolehkan ia digunakan dengan segera dalam operasi serangan balas terhadap kedudukan tentera Russia ketika ini.

Kiev mahu menggandingkan peluru berpandu kruis “Taurus” buatan Jerman dengan peluru-peluru berpandu kruis yang sudah pun berada di dalam pegangannya iaitu, “Storm Shadow” dan juga “SCALP-EG”.

Peluru berpandu kruis “Storm Shadow” dibekalkan oleh Britain manakala “SCALP-EG” pula dibekalkan oleh Perancis.

Kedua-dua peluru berpandu kruis buatan Britain dan Perancis itu membolehkan tentera Ukraine menyerang kemudahan tentera Russia seperti gudang-gudang simpanan pelurunya dan pusat pemerintahan tentera yang terletak jauh daripada barisan hadapan.

Kehadiran peluru berpandu “Taurus” itu amat dituntut oleh Ukraine pada ketika ini bagi “menyelamatkan” operasi serangan balas musim bunga tenteranya pada ketika ini di selatan negara itu yang tidak menunjukkan kejayaan yang besar setakat ini.

Banyak pihak,  sama ada di Barat mahupun pihak Russia sendiri menyatakan bahawa serangan balas oleh pihak Ukraine terhadap kedudukan tentera Russia pada ketika ini belum menunjukkan sebarang perkembangan yang positif akibat pertahanan kukuh Moscow.

Pemimpin-pemimpin utama parti Social Democratic Party (SPD) yang memerintah Jerman pada ketika ini mahukan peluru berpandu kruis “Taurus” itu dibekalkan dengan segera kepada Ukraine berikutan kesukaran dihadapi anggota tenteranya dalam menembusi barisan pertahanan Russia pada ketika ini.

“Serangan balas (oleh pihak Ukraine) sedang berhadapan masalah pada ketika ini. Ukraine tidak mempunyai kekuatan udara untuk menyokong serangan balas oleh tenteranya,” menurut anggota parlimen SPD, Andreas Schawrz kepada akhbar Der Spiegel. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredJermanTaurusUkraine
Comments (0)
Add Comment